HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Julai 2017

Rakyat Kelantan tidak setia satu parti, akan ubah pilihan, kata Husam

Shawaliah Hadir

Tinjauan yang dilakukan oleh sebuah agensi di negeri itu menunjukkan bahawa PAS tidak akan dapat mengekalkan pemerintahannya di Kelantan pada PRU14.

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan yakin akan berjaya merampas Kelantan menerusi Parti Amanah Negara (Amanah) walaupun gabungan parti itu masih diselubungi beberapa isu berbangkit yang belum selesai.

Naib Presiden Amanah Husam Musa, berkata rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang tidak setia kepada satu parti sebaliknya memihak kepada mereka yang mampu untuk mentadbir dan bebas daripada penyelewengan.

“Saya dilahirkan di Kelantan dan dibesarkan di Kelantan dan aktif di sana. Saya melihat sendiri pergolakan perubahan di Kelantan

“Bila saya kata Amanah berpeluang mentadbir Kelantan ini berdasarkan pengalaman denyut nadi Kelantan.

“Orang Kelantan tidak tetap kepada satu parti tapi kepada gelombang,” katanya kepada wartawan di Wisma Amanah hari ini.

Malah tambahnya, tinjauan yang dilakukan oleh sebuah agensi di negeri itu menunjukkan bahawa PAS pada pilihan raya akan datang tidak akan dapat mengekalkan pemerintahannya di Kelantan.

Husam walaubagaimanapun tidak menamakan agensi yang menjalankan tinjauan tersebut.

Jelasnya lagi masa depan Barisan Nasional (BN) tidak secerah Amanah kerana parti itu mempunyai banyak isu rakyat yang gagal diatasi.

“Saya difahamkan tinjauan yang dijadualkan dibentangkan hari ini PAS akan hilang kerajaan tinggal lagi siapa akan jadi kerajaan sebab tentu saya yakin pakatan ada harapan sebab BN ada masalah rasuah, peningkatan kos sara hidup, isu berlian, GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) itu semua rakyat tahu.

“Mustahil Umno untuk perbaiki kedudukan, lagi menuruan adalah. Sebab itu Pakatan Harapan ada peluang menang di Kelantan. Adapun isu logo dan struktur Pakatan Harapan, saya rasa ini akan diselesaikan selepas Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kembali dari London,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau yakin rakyat Kelantan tidak memusuhi DAP sebagai salah satu rakan Amanah dalam komponen pakatan pembangkang kerana parti itu tidak akan mendapat kerusi di negeri itu jika Pakatan Harapan berjaya menggantikan PAS.

“Kelantan rakyatnya tidak alergik dengan DAP kerana tidak akan ada kerusi di Kelantan,” ujar Husam.

Tiada ulasan: