HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Julai 2017

Saifuddin sanggah Azmin, dakwa Pakatan Rakyat tak lagi wujud

 


Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution hari ini berkata, Pakatan Rakyat sudah tidak lagi wujud di Selangor pada masa ini.

Kenyataan tersebut bercanggah dengan dakwaan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali semalam yang mengatakan Pakatan Rakyat masih 'wujud' dalam kerajaan negeri.

"Anda (merujuk kepada Azmin) terus mengatakan bahawa menjalankan mandat rakyat dari Selangor yang diberikan pada pilihan raya umum 2013.

"Tetapi rakyat memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk bertanding BN/Umno.

"Apabila ada satu parti dalam Pakatan Rakyat yang kini lebih mesra kepada BN, maka tidak ada sebab meneruskan Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

"Ia adalah suatu rahsia terbuka bahawa parti itu (PAS) mengubah pendekatannya (terhadap Umno/BN)," katanya sambil menambah parti berkenaan turut mengambil pendirian berbeza mengenai isu-isu utama seperti 1MDB dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Tiada pakatan lain kecuali Pakatan Harapan (HARAPAN)," tegasnya.

Semalam, Azmin yang juga timbalan presiden PKR mendakwa Pakatan Rakyat wujud bersama dengan HARAPAN di negeri ini.

Walaupun DAP dan PAS telah memutuskan hubungan antara satu sama lain pada bulan Julai 2015 yang menjurus kepada pembubaran Pakatan Rakyat, PKR dan PAS masih mengekalkan hubungannya.

HARAPAN yang pada mulanya terdiri daripada DAP, AMANAH dan PKR sebelum kemudiannya disertai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ditubuhkan pada bulan September pada tahun yang sama. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng berkata bahawa gabungan Pakatan Rakyat sudah tidak lagi wujud.

"Tidak ada lagi Pakatan Rakyat,” kata beliau pada sidang media selepas menghadiri sambutan rumah terbuka Aidilfitri Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang di George Town.

Lim, yang juga ketua menteri Pulau Pinang diminta mengulas kenyataan Azmin mengenai perkara itu. Lim, bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Pulau Pinang ditadbir oleh kerajaan Pakatan Harapan dan kita adalah sebahagian daripada Pakatan Harapan. Saya akan menjawab dengan memberi butiran  kemudian,” katanya.

Pakatan Harapan ditubuhkan pada September 2015 oleh DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) selepas PAS memutuskan hubungan dengan DAP pada Julai 2015 yang menyebabkan Pakatan Rakyat berkubur.


Tiada ulasan: