HALAMAN SANTAI

Isnin, 10 Julai 2017

Saifuddin yang celaru, kata PAS

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
TEMERLOH: PAS membidas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution yang membuat kenyataan bercanggah dengan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin.
 
Merujuk terma Pakatan Rakyat (PR) yang menjadi isu di antara dua pimpinan PKR berkenaan, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kemudiannya menyifatkan Saifuddin yang bercelaru.
 
Beliau sebaliknya memuji Azmin yang mengambil realiti sebenar di Selangor.
 
"Pandangan Azmin berpijak kepada fakta sebenar. Tak sepatutnya Saifuddin buat kenyataan bercanggah dengan Timbalan Presidennya. Saifuddin hanya Setiausaha Agung. Dan dia sendiri bekerja dengan DAP. Saya pun merasa pelik. Jika dia Setiausaha PKR, dan bertugas untuk pihak DAP di Pulau Pinang, maka sebenarnya yang celaru bukan Azmin, sebaliknya dia (Saifuddin)," katanya kepada Antarapos.
 
Saifuddin adalah penasihat strategik Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP. 
 
Beberapa hari lalu Saifuddin menyanggah Azmin dengan berkata Pakatan Rakyat sudah tidak lagi wujud di Selangor buat masa ini.
 
Menurut beliau gabungan itu, PKR-DAP-PAS sudah tiada selepas PAS didakwanya lebih mesra kepada Barisan Nasional (BN).
 
Saifuddin juga mengambil contoh bagaimana PAS mengambil sikap berbeza dengan parti pembangkang yang lain dalam isu-isu kontroversi pentadbiran negara seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
 
Selepas memutuskan hubungan dengan DAP dan  kemudiannya menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR, PAS terus kekal dalam kerajaan negeri Selangor bersama barisan exco PKR dan DAP. 
 
Ia sebagai menghormati keputusan rakyat yang memilih gabungan Pakatan Rakyat pada PRU13.
 
Ujar Tuan Ibrahim, kemesraan PAS dan Umno yang dilihat sejak kebelakangan itu bukan petanda bahawa mereka mempunyai  kerjasama kerajaan atau petanda  partinya beralih arah dan kini bersama kerajaan.
 
"Azmin melihat PAS ada peranan, dan saya tegaskan PAS adalah pembangkang, jangan dilabel kita sebagai bersama Umno. Kita masih lawan, bahkan kerusi kita bertanding melawan Umno-BN. Bila dia anggap sedemikian, saya fikir pertelagahan dalaman ini membuatkan rakyat pening," katanya lagi

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: