HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Julai 2017

Sasterawan Negara bimbang orang Melayu tidak nampak kebenaran


Roketkini.com

NIBONG TEBAL: “Saya tidak bimbang tentang orang Cina dan India, mereka boleh tahu apa yang baik dan buruk, dan benar dan salah, dengan cepat.

“Tetapi dengan orang Melayu, saya sangat prihatin. Orang Melayu tidak melihat kebenaran sebagai kebenaran, mereka melihat kebenaran sebagai apa yang mereka peroleh.”

Demikian kebimbangan yang disuarakan Sasterawan Negara, A. Samad Said terhadap orang Melayu yang tidak nampak kebenaran di sebalik skandal mega pengubahan wang haram melibatkan dana berdaulat milik negara, 1MDB.

“Jangan biarkan beberapa ringgit menyebabkan kita melupakan apa yang diambil daripada poket kita sendiri.

“Kita tidak perlu hanya mengingati apa yang diberikan dan melupakan apa yang diambil daripada kita.

“Ini adalah kesilapan kita, sikap ini sukar untuk diperbetulkan, jika kita tidak sedar dari situ, kita tak akan ke mana dan menjadi hamba kepada orang Melayu (lain),” ujarnya ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran DAP Pulau Pinang Sabtu lalu.

Beliau yang lebih manja dipanggil Pak Samad tidak melepaskan peluang memuji pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan juga Selangor.

“Tidak ada defisit yang dicatatkan di negeri ini, mereka berbelanja mengikut cara mereka dan mengembalikannya semula kepada rakyat,” tambahnya, yang kini menganggotai DAP. – Roketkini.com


Tiada ulasan: