HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Julai 2017

"Saya satukan orang, Khairy takutlah tu", kata Tun Mahathir

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa dirinya penyatu masyarakat sekaligus menepis dakwaan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa dirinya pemecahbelah kaum tersebut.
 
"Saya pergi ke mana pun ramai orang datang. Saya fikir saya satukan orang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), anjuran Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, petang tadi.
 
Khairy baru-baru ini menyifatkan  Dr Mahathir, yang merupakan Pengerusi PPBM dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh perpecahan orang Melayu dalam politik kerana mewujudkan pelbagai parti serpihan yang bertujuan menentang Umno.
 
Ujarnya hubungan baik di antara Dr Mahathir dan Anwar hanyalah strategi untuk menyelamatkan diri kerana takut rahsia lama terbongkar, terutama dalam skandal kerugian Bank Negara ketika kedua-duanya merupakan Perdana Menteri (Dr Mahathir) dan Menteri Kewangan (Anwar).
 
Sehubungan itu Khairy menggesa kedua-dua pemimpin politik berkenaan berundur daripada politik.
 
Dr Mahathir ketika mengulas gesaan tersebut kemudiannya menyatakan rasa kasihannya terhadap Menteri Belia dan Sukan itu yang seolah-olah takut dengan dirinya yang sudah tua.
 
"Dia (Khairy) takut, jadi kita kasihan. Kalau takut dengan 'budak' seperti itu, remaja, tetapi takut dengan orang tua tak payah main politiklah.
 
"Saya akan tetaplah (dalam politik). Kenapa saya kena ikut cakap dia pula?," katanya lagi.
 
Selain Dr Mahathir dan Anwar, Khairy ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Wangsa Maju minggu lalu turut menggesa Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk berundur daripada politik.
 
Menurutnya, pemimpin veteran DAP itu bertanggungjawab dalam perpecahan kaum yang melibatkan kaum Melayu dan Cina.
 
Sementara itu, diminta mengulas peranan serta had kuasa jawatan Pengerusi PH, Dr Mahathir berkata ia akan dimuktamadkan dalam satu mesyuarat, pada esok malam di ibu pejabat PKR.
 
"Hal itu berkaitan terma dan rujukannya akan ditentukan pada malam esok," ujarnya ringkas.
 
PH sehingga kini gagal menyenaraikan barisan kepimpinannya meskipun perbincangan tersebut didakwa berlaku sekian lama.
 
Ia berikutan dakwaan PKR tidak bersetuju dengan cadangan barisan kepimpinan yang diajukan PPBM yang menyaksikan penguasaan parti itu dalam PH.
 
 

Tiada ulasan: