HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Julai 2017

Saya tidak akan mohon maaf, kata Kamarul Zaman kepada Mujahid

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
SHAH ALAM: Tiada keperluan untuk saya memohon maaf kepada Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, demikian tegas Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff.
 
Malah Kamarul Zaman tetap mempertahankan tulisan status yang bertajuk "Dr Mujahid antara kuda tunggangan DAP", yang dakwanya ditujukan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh, jadi mengapa Mujahid yang melatah.
 
"Maaf, saya takkan buat permohonan maaf. Saya tetap berpegang bahawa kenyataan saya tersebut adalah satu kenyataan yang betul bukan bersifat fitnah. Saya boleh cakap kenyataan tersebut dengan bukti-bukti yang akan boleh diberikan. Saya dah jelaskan sebenarnya dalam Facebook saya mengapa sebut begitu. Saya akan berikan butir-butir lain bagi membuktikan kenyataan tersebut di mahkamah nanti.
 
"Jadi, tiada masalah. Cuma saya memang takkan minta maaf. Mintalah apa pun saya akan lawan sahaja lah. Saya yakin, InsyaAllah saya akan menang," katanya kepada Antarapos.
 
Kamrul Zaman berkata demikian mengulas saman bernilai RM5 juta difailkan Mujahid yang mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan fitnah.
 
Pensyarah itu turut beranggapan kes saman yang difailkan pemimpin tersebut secara langsung adalah cubaan untuk 'senyapkan' beliau dari mengkritik mana-mana pemimpin Amanah secara terbuka ekoran mampu menjejaskan kes tersebut. 
 
"Maksud kenyataan itu sebab Mujahid ini macam menyuarakan apa yang DAP suarakan sebelum ini. Sebagai contoh yang sebelum ini dia menyarankan kalau Pakatan Harapan (PH) menang parti yang berasaskan agama dan kaum diharamkan. Benda ini DAP yang cakap. Jadi, bila kata dan suarakan seolah-olah dia alat DAP. 
 
"Macam kes Hannah Yeoh sendiri. Saya mengkritik Hannah Yeoh kenapa dia tiba-tiba begitu bersungguh mempertahankan Hannah Yeoh? Sampai bergaduh dengan saya sedangkan kalau nak kira dia dan saya sesama Islam," katanya.
 
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 27 Julai ini sebagai tarikh baru pengurusan kes saman antara Mujahid terhadap Kamarul Zaman.
 
Dalam sebutan pertama kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom hari ini, Mujahid - yang diwakili peguam Mohd Fitri Asmuni - berkata saman berkenaan difailkan ekoran status Facebook dimuat naik Kamarul Zaman pada 25 Mei lalu.
 
Sebelum ini, Kamarul Zaman mendakwa buku tulisan Hannah Yeoh bertajuk Hannah - A Personal Journey cuba memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang ramai supaya menganut atau cenderung kepada Kristian.
 
Kenyataan Kamarul mengundang banyak kritikan, termasuk daripada Mujahid. 
 
Susulan itu, Kamarul kemudian membuat laporan polis terhadap Yeoh.
 
 

Tiada ulasan: