HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 Julai 2017

Sekolah tarik balik larangan pakai sari bagi sambutan Raya

 
Guru Besar Sk Seri Cheras memohon maaf dan berkata, larangan itu pada mulanya dikeluarkan kerana ada murid diejek memakai sari pada sambutan Aidilfitri tahun lalu.


sare-sekolah

PETALING JAYA: Sekolah Kebangsaan Seri Cheras di ibu negara memohon maaf dan menarik balik larangan pelajar memakai sari untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekolah itu esok.

Guru Besar sekolah itu, Maznah Latif berkata, surat baru berserta permohonan maaf sudah diedarkan kepada pelajar hari ini.

“Surat baru ini membenarkan pelajar memakai pakaian tradisional masing-masing atau pakaian kebangsaan,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Surat bertarikh 11 Julai lalu yang menyatakan larangan memakai sari dan seluar jeans untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekolah itu tersebar di Facebook dan mengundang kritikan pengguna Internet yang menyifatkan ia diskriminasi terhadap pelajar kaum India.

Mengulas lanjut, Maznah berkata, larangan itu pada asalnya dikeluarkan kerana ada pelajar yang diejek memakai sari pada sambutan tahun lalu.

“Tahun lepas murid memakai pakaian tradisional masing-masing, dan murid India memakai sari. Memandangkan ia nampak perut, kita rasa kurang sesuai untuk murid sekolah.

“Ada juga murid lain yang ketawakan mereka. Walaupun kita sudah terangkan yang sari adalah pakaian tradisional, kita merasakan tidak perlu lagi (berlaku situasi seumpama itu).

“Ia adalah kesilapan pihak sekolah…kami mengakui kesilapan meletakkan larangan itu,” katanya yang mengakui larangan berkenaan dibuat tanpa mengambil kira pandangan guru kaum India terlebih dulu.

Tahun lalu, Majlis Bandaraya Ipoh turut terpalit kontroversi sama apabila kakitangannya dilarang memakai sari pada majlis sambutan Hari Raya anjuran pihak berkuasa tempatan itu.
Namun, larangan itu ditarik balik selepas dikecam pelbagai pihak.

Sementara itu, Paul Prasad – pengasas Facebook “Tamiler Otrumai Kudumbum” yang memuat naik gambar surat itu, berkata larangan tersebut tidak sepatutnya wujud sama sekali.

“Kita adalah masyarakat pelbagai budaya dan kenyataan seperti ini tidak harus keluar daripada rakyat Malaysia. Ia berisiko mencetuskan isu perkauman yang tidak perlu,” katanya.

Tiada ulasan: