HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 Julai 2017

Selepas bantah, ibu Thaqif kini redha laporan KKM

 
Felda Wani Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan menjalankan pemeriksaan di rumahnya semalam, tetapi tidak menemui bakteria penyebab leptospirosis yang merupakan punca kematian anaknya.


felda-wani-thaqif

PETALING JAYA: Ibu kepada pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi akhirnya redha dan menerima laporan bedah siasat yang mengesahkan anaknya meninggal dunia akibat jangkitan leptospirosis atau kencing tikus.

Felda Wani Ahmad berkata, tiada gunanya mencabar keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu kerana anaknya sudah meninggal dunia.

“Saya tidak ada maksud untuk mencabar atau tidak keputusan laporan bedah siasat yang telah dikeluarkan itu.

“Saya sebenarnya terima kasih juga kepada KKM yang bertungkus lumus dalam lakukan siasatan mengenal pasti penyakit anak saya itu. Nak cabar apa lagi, anak saya pun sudah tiada,” katanya kepada FMT hari ini.

Thaqif dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada 19 April lalu selepas pembantu warden asrama Madrasah Tahfiz Al-Jauhar di Kampung Lukut, Kota Tinggi didakwa memukulnya dengan paip getah.

Kedua-dua kakinya terpaksa dipotong selepas mengalami jangkitan, sementara tangan kirinya dijadualkan dipotong sebelum kanak-kanak itu menghembuskan nafas terakhir pada 26 April.

Isnin lalu, Felda Wani menolak hasil bedah siasat itu sambil mempersoalkan mengapa kaki anaknya dipotong jika betul Thaqif dijangkiti kencing tikus yang boleh dikesan dengan awal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, laporan bedah siasat merumuskan leptospirosis menjadi punca kematian Thaqif, yang dirumitkan keadaan kulit nekrosis (purpura fulminans) dan pembentukan bekuan darah mikro (microthrombi) di saluran darah, bukannya akibat cedera dipukul pembantu warden.

Katanya, sampel tisu dan darah Thaqif diambil pada hari sama pelajar itu meninggal dunia pada 26 April lalu.

Dalam pada itu, Felda Wani berkata, beliau sudah mengarahkan peguamnya, Hishamuddin Hashim untuk mengambil laporan bedah siasat Thaqif di Hospital Sultan Ismail.

“Nak ikutkan kami dah boleh ambil laporan itu. Tetapi, saya serah kepada peguam untuk ambil dan melakukan tindakan selanjutnya (jika ada perkara tidak kena),” katanya.

Dalam perkembagan lain, Felda Wani berkata, pegawai dari Pejabat Kesihatan Kota Tinggi dan Johor Bahru melakukan pemeriksaan di sekitar rumahnya semalam.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang bakteria yang merupakan penyebab jangkitan kencing tikus ditemui.

Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dilaporkan berkata, KKM akan melakukan pemeriksaan di rumah Thaqif dan Madrasah Tahfiz Al-Jauhar bagi mencari punca mangsa dijangkiti leptospirosis.

Tiada ulasan: