HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Julai 2017

Setiausaha akhbar Najib 'hina' Zahid, kata MP Amanah

MALAYSIA DATELINE

Konvensyen Amanah Dr Hatta Ramli


Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa setiausaha akhbar kepada Perdana Menteri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad 'menghina' Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri secara terbuka.

Dr Hatta Ramli berkata, Tengku Sarifuddin menceroboh wilayah bidang kuasa Zahid, memandangkan portfolio Pendaftar Pertubuhan (ROS) adalah secara langsung di bawah Menteri Dalam Negeri dan belum dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Tengku Sarifuddin mengenai kemungkinan DAP tidak dapat menggunakan logo roket dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Ini menunjukkan penghinaan kakitangan Najib kepada timbalan perdana menteri sebagai orang nombor dua dalam kerajaan.

"Sekiranya pegawai berpangkat setiausaha akhbar kepada perdana menteri boleh membuat penghinaan terbuka terhadap timbalan perdana menteri, ini membayangkan kekusutan dan kekecohan dalam pentadbiran Najib," katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Hatta yang juga ahli Parlimen Kuala Krai berkata, terserlah kerajaan Umno BN akan menggunakan taktik terdesak terhadap DAP yang didedahkan oleh Tengku Sarifuddin.

"Taktik terdesak yang diumumkan Tengku Sariffuddin jelas menunjukkan pelan tersembunyi Datuk Seri Najib Razak untuk PRU14," katanya.

Menurut beliau juga, kenyataan Tengku Sariffuddin adalah petanda kuat bahawa lingkaran dalaman Najib serius mempertimbangkan pembatalan pendaftaran DAP dan pengharaman penggunaan logo roket pada PRU14.

"Kegusaran BN terhadap DAP yang secara konsisten berkempen menolak kerajaan rasuah akhirnya benar-benar menjadi ancaman kepada Najib.

"Oleh itu, persediaan parti di pelbagai peringkat dalam Pakatan Harapan perlu digerakkan segera bagi menghadapi pelbagai kemungkinan taktik kotor dan terdesak kerajaan BN menjelang pilihan raya umum akan datang," tegasnya.

Bagaimanapun Zahid semalam meminta pemimpin-pemimpin DAP agar menghentikan spekulasi kononnya parti pembangkang itu akan diharamkan oleh ROS.

“Saya berharap DAP tidak akan membuat sebarang spekulasi mengenainya, apatah lagi ada yang beranggapan bahawa ada usaha daripada ROS untuk mengharamkan parti berkenaan,” katanya pada sidang media semalam.

Tiada ulasan: