HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Julai 2017

Setinggan terbiar jejas imej ibu kota, ancaman keselamatan penduduk

Bernama

Perumahan setinggan telah berada dalam keadaan terbiar selama dua tahun, manakala dewan pula kira-kira 30 tahun

KUALA LUMPUR: Di sebalik pembangunan pesat di sekitar Jalan Cheras dan Jalan Lombong di sini, masih terdapat rumah setinggan dan dewan terbiar yang belum dilupuskan, sekaligus mencacatkan pemandangan bandar raya.

Lebih memburukkan keadaan, terdapat juga longgokan sampah sarap di situ, bukan sahaja menyebabkan bau busuk malah menjadi tempat pembiakan nyamuk yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk setempat.

Pengerusi rumah berhala Wong Loo Sen See Chee Choong, yang terletak kurang 100 meter dari kawasan terbiar itu, How Joon Wai berkata situasi itu menjejaskan imej tokong berkenaan yang menjadi tempat tarikan pelancong.

“Setiap hari ramai pelancong asing yang datang ke sini (tokong) kerana ia  terletak kurang 10 kilometer dari KLCC dan hanya 200 meter dari Sunway Velocity Mall, jadi amat memalukan bila mereka datang dan melihat persekitaran yang buruk seperti ini.

“Walaupun kami memelihara kebersihan dan kecantikan tokong, tidak ada gunanya jika keadaan di luar tokong pula sebaliknya,orang yang datang untuk beribadat juga boleh terganggu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Suri rumah Wong Siew Len, 78, berkata bau busuk yang datang dari longgokan sampah telah menyebabkan ketidakselesaan dan gangguan untuk dia serta keluarganya menjalankan aktiviti harian.

“Longgokan sampah ini betul-betul diletakkan di hadapan rumah saya, jadi kami sekeluarga terpaksa tinggal dalam bau busuk yang memualkan setiap hari, ” katanya.

Helen Wong, 70, pula berkata dewan terbiar di kawasan itu turut  mengundang rasa bimbang berikutan struktur bangunan yang tidak kukuh dan reput boleh mengancam  keselamatan pengguna jalan raya.

“Bahagian bumbung dewan ini boleh runtuh bila-bila masa sahaja, bayangkan jika ia menimpa orang yang lalu lalang?,” katanya.

Malah menurut Timbalan Ketua Wanita MCA Wilayah Persekutuan Heng Sinn Yee, lebih membimbangkan apabila dewan usang itu juga kini menjadi sarang untuk penagih dadah melepaskan gian.

“Masalah-masalah ini tidak boleh dibiarkan berlarutan, saya berharap pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Alam Flora akan mengambil tindakan segera,” katanya yang menerima aduan tersebut daripada penduduk pada Rabu lepas.

Heng berkata beliau difahamkan perumahan setinggan telah berada dalam keadaan terbiar selama dua tahun, manakala dewan pula kira-kira 30 tahun.

Tiada ulasan: