HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Julai 2017

Shafee pertahan Md Raus, Zulkefli

MALAYSIAKINI


Sekurang-kurangnya dua bekas hakim kanan berpendapat pelantikan semula Tan Sri Md Raus Sharif sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan menyalahi perlembagaan, tetapi Tan Sri Muhammad Shafee Abdulllah mempunyai pandangan berbeza.

Peguam kanan itu berkata hampir semua orang menyangka Md Raus melantik dirinya sendiri dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menjadi hakim tambahan.

Namun kata Shafee bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria adalah orang yang melantik Md Raus sebelum beliau bersara pada 30 Mac 2017.

"Dia mungkin telah dipengaruhi fakta bahawa kedua-dua hakim selepasnya masing-masing akan mempunyai hanya empat bulan dan enam bulan untuk memegang kedua-dua jawatan tertinggi.
"Bekas ketua hakim negara mesti berasa tidak wajar tempoh itu begitu berbanding apa yang beliau lalui iaitu lebih enam tahun," katanya.

Hakim-hakim atasan perlu bersara wajib pada usia 66 tahun enam bulan tetapi bagi seseorang hakim tambahan, mereka tidak dihadkan oleh kekangan itu.

Shafee menjelaskan sebelum pelantikan Md Raus dan Zulkefli, Arifin juga pernah melantik semula seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Hwa (gambar).

Begitu juga, kata Shafee, pada 1965 bekas hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri S Chelvasingam MacIntyre, disambung perkhidmatannya sebagai hakim tambahan.

Bagaimanapun dalam contoh itu hakim tambahan terbabit bukan berkhidmat sebagai ketua hakim negara atau presiden Mahkamah Rayuan.

Mengenai hal itu, Shafee berhujah, tiada halangan perlembagaan untuk seorang hakim tambahan dilantik sebagai ketua hakim negara atau presiden Mahkamah Rayuan.

"Tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan melarangnya. Mengapa tidak dimanfaatkan hakim terbaik untuk jawatan berkenaan," katanya.

Menurut beliau kebanyakan negara Commonwealth mengalami masalah kekurangan hakim berpengalaman pada ketika ini dan Malaysia tidak terkecuali.

"Untuk menjadi seorang hakim yang memiliki kecerdasan dan pengetahuan tertinggi saja tidak mencukupi. Seseorang juga perlukan kecerdasan emosi dan ia suatu kombinasi yang jarang ada," katanya.

Shafee juga menyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak ada peranan dalam pelantikan hakim tambahan kerana ia adalah hanya urusan ketua hakim dengan Yang Di-Pertuan Agong, mengikut under Artikel 122(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan: