HALAMAN SANTAI

Ahad, 16 Julai 2017

Struktur Baharu Pakatan Harapan Dipersetujui DAP





SHAH ALAM: Tidak timbul isu DAP dipinggirkan dalam senarai kepimpinan teratas Pakatan Harapan (PH) kerana ini soal gerakan strategik sebelum bertempur menentang Umno-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14, kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Kamaruddin Mohd Noor.

Kamaruddin berkata struktur kepimpinan utama yang telah dimuktamadkan itu telah dipersetujui DAP terlebih dahulu, justeru ujarnya ia tidak perlu dipertikaikan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak, yang dilaporkan berkata senarai baru struktur kepimpinan PH seolah-olah mahu mengaburi mata pengundi dan rakyat kononnya keputusan dalam PH tidak dipengaruhi DAP.

“Dengan persetujuan DAP juga, dia (DAP) yang minta begitu. Dia yang setuju begitu.

“Biar DAP yang persoalkan tetapi DAP tidak mempersoalkan. DAP terima dengan senang hati bahkan DAP punya wakil dia menyokong itu dan sama-sama mengkehendaki begitu.

“Mana tidak parti politik membuat sesuatu gerakan yang tidak berstrategik. Kita kan parti politik, bergerak untuk menang pilihan raya. Semua gerakan kita ialah gerakan yang berstrategik,” katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Walaubagaimanapun Kamaruddin berkata segala keputusan yang telah diumumkan gabungan itu merupakan keputusan yang terbaik, justeru ia terbuka kepada tafsiran mahu pun kritikan sesiapa sahaja.

Terdahulu, susulan pengumuman blok pembangkang itu lewat malam Khamis, Salleh dalam catatan blognya mempersoalkan ketiadaan wakil DAP dalam tiga kedudukan teratas dalam barisan kepimpinan baru PH.

“Kenapa DAP tidak memegang salah satu jawatan tertinggi, sedangkan DAP mempunyai bilangan ahli Parlimen terbanyak dalam Pakatan ini?

“Apakah DAP dipinggirkan atau ini disengajakan supaya pakatan ini dilihat sebagai didominasi oleh orang Melayu?” soal Salleh.

Dalam keputusan yang dicapai itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai Ketua Umum, sementara Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi pengerusi gabungan empat parti itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula dilantik sebagai presiden PH.

DAP pula hanya diwakil Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng yang dilantik sebagai timbalan presiden PH, sementara naib presiden DAP dari Sarawak, Chong Chieng Jen, dinamakan sebagai naib presiden PH.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang bagaimanapun tidak disenaraikan dalam barisan kepimpinan itu – AP

Tiada ulasan: