HALAMAN SANTAI

Ahad, 16 Julai 2017

Struktur PH bercelaru, kata penganalisis politik

 Shawaliah Hadir

Parti itu sehubungan itu didesak memberi penjelasan yang terperinci kerana perkara ini juga akan memberi gambaran parti itu akan menghadapi masalah yang sama jika berjaya menjadi sebuah kerajaan khususnya memilih calon Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR: Struktur baru Pakatan Harapan didakwa bercelaru kerana mengemukakan tiga jawatan tertinggi yang mempunyai kedudukan dan kuasa yang tidak jelas, kata penganalisis politik Profesor Dr Ramlah Adam.

Beliau juga mempertikaikan ketua sebenar di dalam gabungan itu kerana dilihat mempunyai jawatan Ketua Umum, Pengerusi dan Presiden.

“Perbezaan antara jawatan-jawatan tertinggi itu nipis sangat, perbezaan kedudukan dan kuasa yang mereka bawa.

“Jadi saya nak tanya dalam Pakatan Harapan ini siapa sebenarnya yang paling berkuasa? Siapa ketua sebenarnya?

“Ini satu isu besar, dari antara satu sama lain itu sebenarnya sama sahaja Ketua, Presiden dan Pengerusi apa bezanya? Ini boleh menimbulkan konflik dan kebingungan kepada pengikutnya,” katanya kepada Berita Daily.

Jumaat, parti itu mengumumkan Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi manakala Presiden adalah Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Parti itu mempunyai tiga Timbalan Presiden begitu juga jawatan Naib Presiden.

Sementara itu jelas Ramlah, di dalam sebuah organisasi sepatutnya jawatan tertinggi hanya satu sama ada Pengerusi, Presiden atau Ketua Umum, berbeza dengan Pakatan Harapan.

“Dalam satu organisasi selalunya sebagai korporat pakai Presiden dan Ketua Eksekutif itu yang paling tinggi. Tidak pakai Ketua Umum, tidak pakai lagi Pengerusi.

“Tapi kalau satu organisasi pakai Pengerusi, itu yang paling tinggi, di bawahnya Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari selepas itu dan cabang-cabangnya,” ujar beliau.

Parti itu sehubungan itu didesak memberi penjelasan yang terperinci kerana perkara ini juga akan memberi gambaran parti itu akan menghadapi masalah yang sama jika berjaya menjadi sebuah kerajaan khususnya memilih calon Perdana Menteri.

“Memang membingungkanlah kecuali dalam perlembagaan parti itu nanti ada penjelasan bidang kuasa masing-masing itu.

“Personaliti Anwar dan Dr M siapa yang ketua? Kalau Anwar Ketua Umum kenapa letak Dr M Pengerusi? Kenapa bukan Penasihat? dan sebaliknya,” tambahnya.

Berbeza dengan Ramlah seorang lagi Penganalisis Politik Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berpendirian struktur gabungan yang mempunyai empat parti komponen iaitu PKR, DAP, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( PPBM) yang baru ini lebih terbuka kerana tidak dominasi oleh satu parti sahaja.

Ini juga tambahnya menangkis dakwaan yang bertebaran sebelum ini bahawa Pengerusi PPBM Dr M cuba menakluk Pakatan Harapan.

“Saya lihat struktur baru ini nampak lebih terbuka dan nampak tidak ada dominasi mana-mana pemimpin di dalam itu.

“Selama hari ini ada menganggap mungkin orang menganggap Dr Mahathir mahu mendominasi Pakatan Harapan tapi dengan struktur baru ini nampak dia sebagai Pengerusi sahaja,” katanya.

Menurut Atory lagi, jawatan yang disandang mewakili DAP juga menangkis tuduhan bahawa parti itu cuba mengawal gabungan tersebut.

“Dari segi politiknya struktur baru ini satu konsep terbuka berbanding dengan sebelum ini macam sebelum ini nampak macam ada dominasi.

“Ini juga menangkis pandangan mengatakan selama ini Pakatan Harapan diperkudakan oleh DAP ataupun kononnya DAP mahu mempergunakan kerana hanya satu orang sahaja yang ada dalam jawatan parti itu,” tambahnya.

Untuk rekod, jawatan Timbalan Presiden Pakatan Harapan disandang oleh Presiden PPBM Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu (Presiden Amanah) dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Penyusunan ini disifatkan Atory sebagai cara yang bijak meraih sokongan pengundi Melayu lagi.

Tiada ulasan: