HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Julai 2017

Sunting gambar perbuatan biadab



Sunting gambar perbuatan biadab
Edros menunjukkan gambar Yang di-Pertuan Agong yang disunting pihak tidak bertanggungjawab.


SHAH ALAM - Gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang disunting pihak tidak bertanggungjawab tular di media sosial Facebook.

Yang Dipertua Pertubuhan Pembela Martabat Kesultanan Melayu Malaysia, Datuk Edros Abdullah, gambar berkenaan dikesan telah disunting dan dikongsikan sejak 25 Jun lalu.

Katanya, apa yang menghairankan adalah tidak ada sebarang tindakan pihak berkuasa terutama polis terhadap individu yang menyuntingnya.

“Itu adalah Yang di-Pertuan Agong, ketua kepada negara, agama Islam dan seluruh rakyat di negara ini. Sepatutnya kita menghormati baginda dan mempertahankan baginda.

“Tidak sepatutnya mereka bergelar rakyat Malaysia menyunting gambar dan berkongsi di media sosial seolah-olah itu satu bentuk jenaka. Ini satu tindakan biadab dan saya amat dukacita jika tidak ada sebarang tindakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, tindakan tegas perlu dikenakan kepada mana-mana pihak yang menghina institusi raja di negara ini.

“Pastikan mereka ini dapat dikesan dan ditangkap. Pastikan mereka ini dipenjarakan dan bukan hanya dikenakan hukuman denda semata-mata.

“Dengan penjarakan pesalah, mereka menerima pengajaran setimpal dan tidak akan mengulangi perbuatan seumpama ini.Walaupun sehari, mereka ini tetap akan dipanggil bekas banduan,” katanya.

Edros turut mencadangkan satu undang-undang baharu yang lebih keras digubal berkaitan bentuk penghinaan terhadap institusi raja Malaysia.

“Saya harap perkara ini dibawa, dibincangkan dan dibahaskan ke Parlimen dengan hukuman lebih keras dan mandatori dikenakan kepada mana-mana pihak yang menghina.

“Begitu juga dengan individu yang mempunyai gelaran. Lucutkan gelaran mereka sekiranya secara sengaja atau tidak sengaja menghina, mencerca dan tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Edros berkata, satu laporan telah dibuat di Balai Polis Kampung Baru Subang telah dibuat berhubung perkara itu.

“Saya harap pihak berkuasa ambil tindakan pantas menangkap individu ini. Begitu juga dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dapat mengesan segera pengguna Facebook tersebut,” katanya.

Tiada ulasan: