HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 Julai 2017

Tak perlu bayar balik PTPTN, kata aktivis

 
Adam Adli berkata menyediakan pendidikan adalah tanggungjawab kerajaan.


Adam-Adli_ptptn_600


PETALING JAYA: Aktivis Adam Adli mempertahankan mereka yang gagal membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sambil mempersoalkan tindakan pihak berkuasa ke atas mereka.

“Pendidikan tidak seharusnya menjadi perniagaan. Ia adalah hak semua,” kata aktivis itu yang sebelum ini antara mereka yang menyokong kempen mewujudkan pendidikan tinggi percuma.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh baru-baru ini berkata tindakan akan diambil terhadap peminjam yang gagal membayar, termasuk menyenaraihitamkan mereka.

Beliau merujuk tinjauan Bank Negara Malaysia yang mendapati ramai membayar pinjaman perumahan dan kereta serta kad kredit tetapi enggan membayar pinjaman PTPTN.

“Bagi seorang menteri untuk mengatakan tindakan tegas akan diambil terhadap peminjam adalah tidak bijak.

“Kenapa anda perlu ‘menghukum’ seorang graduan yang bersusah payah untuk mendapatkan tempat di universiti, terutama di universiti awam?” kata Adam kepada FMT.

Menurutnya, pelajar yang mengambil pinjaman PTPTN mungkin tidak menyedari risiko yang mereka hadapi termasuk disenaraihitamkan selepas menamatkan pengajian mereka.

Adam berkata peminjam enggan membayar sebagai tanda protes terhadap dasar kerajaan tidak membiayai pendidikan tinggi.

Tambahnya, mereka terpaksa mengutamakan pembayaran hutang komersial lain kerana bimbang harta benda dirampas bank.

Awal tahun ini, Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata 663,000 peminjam tidak membuat apa-apa bayaran balik.

Daripada mereka, 19% disenaraihitamkan kerana menanggung terlalu banyak hutang dan disekat daripada meninggalkan negara.

PTPTN berkata sehingga awal tahun ini, ia hanya hanya mengutip RM10.8 bilion daripada RM18.8 bilion yang diedarkan.

Tiada ulasan: