HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Julai 2017

Tarif elektrik kekal hingga hujung tahun




Kerajaan bersetuju mengekalkan rebat tarif elektrik sebanyak 1.52 sen/kWJ di Semenanjung dan 1.20 sen/kWJ di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember, tahun ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili berkata dengan pengekalan rebat tarif elektrik itu kerajaan membelanjakan subsidi sebanyak RM1.303 bilion untuk menampung peningkatan kos bahan api dan penjanaan bekalan elektrik kepada Semenanjung bagi tempoh Julai hingga Disember tahun ini.

"Manakala bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, kerajaan telah membelanjakan subsidi khas sebanyak RM468 juta untuk menampung peningkatan kos bahan api dan penjanaan bekalan elektrik sepanjang 2017," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata rebat tarif bagi Sabah dan Labuan ditampung melalui pemberian subsidi bahan api Medium Fuel Oil (MFO) dan diesel serta subsidi sokongan tarif elektrik oleh kerajaan persekutuan.

"Manakala peruntukan sebanyak RM1.303 bilion untuk Semenanjung itu menggunakan Dana Hasil Rundingan Semula Perjanjian Pembelian Tenaga dengan Penjana Kuasa Bebas Generasi pertama (Dana Perjanjian PPA)," katanya.

Beliau berkata rebat tarif elektrik akan diberikan kepada semua kategori pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Semananjung dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Sabah dan Labuan.

Ongkili berkata kerajaan juga telah bersetuju mengekalkan kadar purata tarif elektrik asas di Semananjung pada 38.53 sen/kWJ dan 34.52 sen/kWJ bagi Sabah dan Labuan.

Katanya semakan kos pembekalan elektrik oleh Suruhanjaya Tenaga di bawah dasar Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) bagi Januari hingga Jun tahun ini telah menunjukkan peningkatan sebanyak 1.02 sen/kWJ.

"Peningkatan kos pembekalan elektrik berlaku disebabkanoleh kenaikan harga gas sebanyak RM1.50/MMBtu (satu juta Unit Termal British) daripada RM21.20/MMBtu dan kenaikan harga arang batu di pasaran dunia serta kesan kadar tukaran wang asing kepada ringgit.

"Kenaikan 1.02 sen/kWJ memerlukan surcaj kepada pengguna, namun kerajaan telah memutuskan supaya kenaikan kos pembekalan elektrik itu tidak ditanggung oleh pengguna," tambahnya.

Ongkili berkata secara keseluruhannya pelarasan tarif elektrik di bawah dasar kos bahan api dan penjanaan tidak seimbang telah membolehkan pengguna elektrik menikmati rebat sebanyak RM5.403 bilion di Semenanjung untuk tempoh Mac 2015 hingga Disember 2017.-Bernama


Tiada ulasan: