HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Julai 2017

Tengku Abdullah bimbang masalah dadah di tanah rancangan

MALAYSIAKINI



Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan kebimbangan terhadap masalah penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa di tanah-tanah rancangan Felda di negeri itu.

Tengku Abdullah bertitah perkara itu sendiri turut mendapat perhatian semasa Mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini yang mahukan semua pihak yang berkenaan segera mengambil tindakan proaktif bagi mengatasinya.

"Saya harap pihak polis dapat berbincang dengan pihak yang berkenaan bagi mengatasi masalah ini dan sediakan satu laporan yang progresif dan konstruktif.

"Saya tidak mahu tanah rancangan Felda ini berterusan menjadi lubuk penagihan dadah dan harap masalah ini dapat diatasi secepat mungkin, " titah baginda

Tengku Abdullah bertitah demikian ketika mengadiri majlis sambutan Aidilfitri Polis Kontinjen Pahang yang dihadiri lebih 5,000 anggota polis dan keluarga dari seluruh daerah di negeri itu.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Polis Pahang Datuk Rosli Abdul Rahman.

Dalam masa yang sama baginda turut menyeru pihak berkenaan seperti pengurusan Felda bekerjasama dengan polis untuk memantau dan mengawasi masalah itu bagi menanganinya daripada bertambah serius.

"Saya sendiri akan turun padang untuk tinjau masalah ini sekadar mampu untuk lihat perkembangannya," titah baginda.

Di majlis itu Tengku Abdullah turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 20 anak yatim dan istimewa dari sekitar daerah Kuantan.- Bernama


Tiada ulasan: