HALAMAN SANTAI

Selasa, 11 Julai 2017

Tiada langsung unsur sabotaj terhadap DAP, kata Gerakan

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
CHERAS: Tidak wujud unsur sabotaj oleh Barisan Nasional (BN) berkaitan arahan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) supaya parti DAP mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baru, tegas Setiausaha Agung Gerakan Liang Teck Meng.
 
Ahli Parlimen Simpang Renggam tersebut turut menolak dakwaan yang mengatakan arahan pemilihan semula itu merupakan cubaan BN untuk 'menyekat' DAP menyertai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan menjelang tidak lama lagi.
 
"Saya tidak faham yang dimaksudkan kerana mereka kata ini sabotaj daripada Barisan Nasional (BN). Kalau kita imbas balik pemilihan parti DAP pada waktu itu adalah pada November 2012. Pada waktu itu, pilihan raya umum pada tahun 2013 berapa lama? Bulan 5. Agak dalam tempoh 5-6 bulan sampai waktu pilihan raya umum. 
 
"Jadi sekarang juga masa matang pilihan raya umum kita pada tahun 2018 bulan 8. Jadi masa lebih panjang dengan waktu itu. Saya tak nampak ada sabotaj kononnya ini untuk menghalang mereka dari mengambil bahagian dalam pilihanraya umum. 
 
"Jadi saya nampak seolah ini adalah masalah dalaman parti DAP. RoS harus mempertahankan ketelusan dan keadilan. Saya lihat rombongan yang membuat aduan tentang hal ini, sekiranya RoS tidak mengambil tindakan maka mereka akan ambil tindakan terhadap RoS," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PGRM di sini hari ini.
 
Ujarnya lagi, dalam hal yang melibatkan perlembagaan parti, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sepatutnya sedar seterusnya mengambil langkah pantas sekiranya terdapat sebarang keraguan sebelum imi. 
 
"Yang Amat Berhormat Datuk Seri Zahid Hamidi telah jawab pada tahun 2015 Oktober. Kalau saya sebagai Setiausaha Agung, saya menerima notis sebegitu. Dengan kadar segera saya akan ambil tindakan. Kenapa nak tunggu sampai hari ini? 
 
"Saya juga seorang Setiausaha Agung, kalau saya ada mempunyai masalah sebegitu dalam parti. Saya akan mengambil tindakan dengan kadar segera. Saya takkan tunggu sehingga begitu lama. 
 
"Bermakna, ada perlembagaan ikutlah perlembagaan. Ada akta ikutlah akta. Begitu susah ke?" soalnya.
 
Mengulas lanjut, Teck Meng dalam pada itu menyarankan kedua-dua pihak mengemukakan dokumen bagi melihat siapa di pihak yang benar dan bukannya saling tuduh menuduh. 
 
Pada 7 Julai lalu, RoS mengarahkan DAP untuk mengadakan pemilihan CEC baru ekoran pemilihan semula pada 2013 tidak sah.
 
Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, ini kerana RoS mendapati pelantikan 20 anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti itu hasil pemilihan semula pada 29 Sept 2013, adalah tidak sah dari segi undang-undang.
 
Katanya lagi, pemilihan semula itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012, yang melibatkan seramai 2576 perwakilan dari 865 cawangan.
 
Bagaimanapun, DAP bertegas untuk tidak akan mengadakan pemilihan semula CEC selagi belum menerima surat arahan rasmi daripada RoS. 
 
Malah parti itu dikatakan menuduh RoS sengaja mensabotaj mereka bagi persediaan PRU14 kali ini, sedangkan keputusan RoS agar parti itu mengadakan pemilihan semula CEC adalah berdasarkan perlembagaan parti tersebut sendiri.
 
 

Tiada ulasan: