HALAMAN SANTAI

Sabtu, 15 Julai 2017

Usaha kurangkan konflik antara kumpulan agama perlu dirancakkan

PROF MOHD NAZARI ISMAIL




Baru-baru ini saya telah menghadiri satu forum yang dianjurkan oleh pertubuhan Kairos Dialogue Network. Panelis-panelis adalah Bishop Emeritus Dr. Hwa Yung dan Dr. Maszlee Malik (Gambar atas)  dari  Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)  dengan Reverend Dr. Sivin Kit sebagai moderator.

Antara perkara yang yang menarik yang diutarakan oleh Reverend Dr. Hwa ialah gerakan Evangelikal Kristian di Malaysia adalah tidak sama dari segi pendirian politik dengan gerakan Evangelikal Kristian di Amerika Syarikat.

Sebagai contoh, ahli gerakan Evangelikal Kristian Malaysia sangat tidak meminati Presiden Donald Trump kerana sikap beliau yang ekstrim. Namun mereka juga tidak meminati Hillary Clinton kerana sikap beliau yang terlampau liberal.

Di samping itu ahli gerakan Evangelikal Kristian di Malaysia tidak bersetuju dengan rancangan mengadakan upacara Golden Jubilee yang merayakan kejatuhan Jerusalem atau Baitul Maqdis ke tangan Israel.

Ini kerana mereka sedar akan sensitiviti orang Islam di Malaysia. Mereka juga tidak semestinya bersetuju seratus peratus dengan semua tindakan kerajaan Israel. Bahkan Dr. Hwa menyatakan beliau mengenali beberap orang paderi Kristian Palestin dan oleh itu sedar akan kesengsaraan rakyat Palestin akibat tindakan rejim Zionis Israel.

Beliau oleh itu menegaskan bahawa kebanyakan atau majoriti dari penganut Kristian di malaysia dan di dunia adalah bukannya penyokong gerakan Zionis.

Dr. Maszlee pula memberi hujahan dari perspektif Islam. Beliau menceritakan beberapa isu yang menarik berdasarkan pengalaman peribadi serta kajian beliau. Antara lain beliau menyatakan bahawa Islam adalah agama yang sangat memberatkan aspek `keadilan’ dan ini dibuktikan oleh ayat Quran yang menyatakan dengan tegas bahawa Allah melarang orang Islam bersikap tidak adil kepada sesuatu kaum hanya kerana membenci kaum tersebut.

Dr. Maszlee kemudian menyatakan bahawa berdasarkan pengalaman beliau berinteraksi dengan penganut agama-agama lain, kebimbangan kepada usaha dakwah oleh golongan Evangelikal Kristian adalah bukan hanya di kalangan orang Islam sahaja bahkan juga di kalangan penganut agama Buddha, Hindu dan bahkan juga penganut agama Kristian dari kumpulan lain seperti Katolik atau Methodist. Dalam erti kata yang lain, kebimbangan dengan usaha dakwah oleh pihak Evangelikal Kristian bukannya sesuatu yang terpencil dan bukannya melambangkan kekurangan keyakinan orang Islam kepada agama mereka semata-mata.

Selanjutnya Dr. Maszlee menekankan perlunya kita memahami kenapa kita kaum Melayu Islam sangat bimbang dengan isu usaha `Kristianisasi’ di Malaysia. Antara lain ialah kerana agama Kristian datang ke Malaysia semasa era penjajahan dan oleh itu disamakan oleh orang Melayu dengan usaha penjajahan.

Di samping itu apa yang berlaku di Singapura di mana kaum Melayu menjadi `second class citizen’ membuat orang Melayu sangat bimbang dengan kemungkinan kuasa Melayu di negara mereka sendiri terhakis.

Beliau menceritakan bahawa di Singapura orang Melayu tidak akan diberikan jawatan tinggi dalam beberapa agensi kerajaan (termasuk tentera). Di samping itu laungan azan juga tidak dibenarkan di masjid-masjid semenjak negara tersebut dikawal oleh orang bukan Melayu. Oleh itu kebimbangan orang Islam kepada usaha dakwah Kristian atau `Kristianisasi’ adalah sebenarnya mempunyai asas yang kuat.

Dr. Maszlee kemudian menyarankan agar dialog antara berbagai kumpulan agama dirancakkan supaya kita semua akan lebih saling mengenali dan memahami antara satu sama lain sesuai dengan ayat Quraan di dalam surah Al Hujurat di mana Allah menyatakan bahawa Dia mencipta manusia dalam berbagai kumpulan bangsa adalah untuk mereka saling kenal mengenali antara satu sama lain.

Beliau turut menyarankan agar kumpulan dari berbagai agama memfokuskan usaha untuk sama-sama berusaha menyelesaikan masalah masyarakat seperti kemiskinan, kadar jenayah yang meningkat, pencemaran alam dan lain-lain. Usaha bersama-sama dalam aspek ini adalah lebih menguntungkan jika ia ditekankan oleh semua pihak berbanding usaha pendakwahan (proselytisation) yang sekarang menjadi fokus utama kumpulan agama tertentu termasuk kumpulan Evangelikal Kristian.

Dalam forum itu, saya sendiri telah bangun untuk menyuarakan rasa tidak puas hati saya dengan komuniti Kristian di Malaysia yang nampak sangat keberatan untuk menyuarakan sokongan mereka kepada pihak Palestin yang sekarang adalah mangsa kezaliman rejim Israel. Saya menyatakan bahawa di negara lain di Eropah dan Amerika, ramai orang Kristian terlibat dengan usaha menentang kezaliman Israel berbanding di Malaysia.

Saya menyarankan agar orang Krisitian di Malaysia berfikir secara rasional dan tidak membiarkan perasaan mereka berkenaan politik dalaman negara mempengaruhi mereka untuk berfikir secara rasional dan tidak menggunakan kaedah “My enemy’s friend is also my enemy” dalam membuat pendirian berkenaan isu konflik Palestin-Israel.

Pada pendapat saya, forum yang telah dijalankan banyak membuka ruang kepada kedua belah pihak, yakni Islam dan Kristian menambahkan kefahaman tentang pendirian mereka masing-masing dalam berbagai isu. Saya tertarik dengan kemampuan Dr. Maszlee mempertahankan kesucian agama Islam dan juga pendirian orang Melayu Islam dengan cara yang tidak menghasilkan kebencian orang Kristian kepada agama Islam dan orang Melayu.

Kita berharap agar forum atau wacana seumpama ini dapat diteruskan supaya konflik melampau antara kaum dan agama yang akan merugikan semua pihak dapat dielakkan dari berlaku di negara kita yang tercinta.

* Penulis Prof Nazari Ismail adalah PengerusiBDS Malaysia

Tiada ulasan: