HALAMAN SANTAI

Ahad, 9 Julai 2017

Utusan siar semula kritikan Tunku terhadap Dr M

MALAYSIAKINI


Ketika kemelut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad semakin meruncing, Utusan Malaysia mengambil pendekatan menyiarkan kembali temubual bersama Tunku Abdul Rahman.

Video yang dimuatnaik di laman atas talian akhbar berkenaan dipercayai dirakamkan ketika tahun 1988 berhubung surat terbuka Mahathir kepada perdana menteri pertama berkenaan.

Dalam video selama kira-kira dua minit itu, Tunku menceritakan, surat yang ditulis Mahathir pada pertengahan 1969 itu menyebabkan bapa kemerdekaan itu dibenci oleh orang Melayu.

Malah, Tunku turut menceritakan, Mahathir menyalahkannya ekoran rusuhan perkauman 13 Mei yang berlaku pada tahun berkenaan.

"Saya ini dibenci oleh semua orang Melayu, dibenci oleh pegawai-pegawai kerajaan, dibenci oleh askar Melayu, dibenci oleh polis dan sebagainya.

"Di sini nampaknya caranya, tujuannya nak bagi orang semua-semua benci kepada saya. Buang saya dan ubahkan pemerintahan Malaya ini.

"Dia (Mahathir) kata saya ini pro-Cina, saya berjuang begitu lama, begitu susah, dan begitu payah, susah-payah, adakah dengan untuk mengangkatkan Cina?

"Dia kata saya pro-Cina, saya buat itu bagi Cina, macam-macamlah dia kata. Jadi ditunjuk di situ khianatnya," kata Tunku dalam temubual berkenaan.

Pecat Mahathir

Justeru, Tunku memberitahu, satu-satunya tindakan yang boleh dilakukannya ialah memecat Mahathir dari Umno.

"Tapi tak adalah buat apa-apa, cuma pecat (Mahathir) daripada Umno sahaja.

"Kalau dia (Mahathir) sendiri (menjadi individu yang diberi surat), tentu dia buat macam sekarang ini (tahun 1988), bubuh dalam penjara.

"Masuk tahan orang itu, tahan orang ini. Tahan surat khabar-surat khabar," katanya lagi merujuk tindakan Mahathir dalam Ops Lalang.

Dalam video yang dimuatnaik di Youtube pada 2009 itu, tidak dapat dipastikan siapa yang menemubual Tunku.

Utusan dalam artikelnya berkata, tindakan Mahathir itu telah memusnahkan semua kerja keras Tunku untuk orang Melayu dan negara.

Kemelut antara Tunku dan Mahathir memainkan peranan penting dalam politik negara.

Serangan Mahathir terhadap Tunku itu menyebabkan bapa kemerdekaan tersebut meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri pertama pada 1970 dan diganti dengan Tun Abdul Razak Hussein.

Abdul Razak merupakan individu yang memujuk Mahathir agar kembali kepada Umno dan membawanya ke kabinet sebagai menteri pelajaran pada 1974.

Mahathir sebelum ini pernah menyatakan rasa syukurnya terhadap Abdul Razak sehingga menyebabkannya menyokong Najib sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, Mahathir kini menjadi salah seorang pengkritik Najib yang paling lantang dan mengambil tindakan keluar dari Umno serta membentuk parti baru- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Melihat kepada senario politik terkini, nampaknya sejarah sekali lagi mengulangi peristiwa antara Mahathir dan Tunku.

Ini kerana, Tunku pernah menjadi pengkritik semasa era pentadbiran Mahathir.

Apabila Umno dibubarkan pada 1987, Tunku bersama perdana menteri ketiga pada masa itu, Tun Hussein Onn menyertai Semangat 46 dan bukan Umno Baru yang ditubuhkan Mahathir.
Abdul Rahman dan Hussein kedua-duanya tidak menyertai Umno kembali.

Dua pemimpin itu kemudian meninggal dunia pada 1990, enam tahun sebelum Semangat 46 dibubarkan- yang menyebabkan ahli-ahlinya kemudian bergabung semula dengan Umno

Tiada ulasan: