HALAMAN SANTAI

Ahad, 9 Julai 2017

Warkah terbuka Syed Saddiq buat TMJ


Ampun Tunku.

Menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor.

Patik memohon ampun limpah perkenan Tunku untuk bercemar duli membaca nukilan ringkas, ikhlas dari hati seorang rakyat Johor.

Saya menangis apabila membaca surat terbuka daripada Tunku semalam.

Saya menangis kerana saya juga tinggal di Malaysia yang Tunku maksudkan.

Malaysia yang dahulunya dipenuhi dengan optimisme dan maruah.

Malaysia yang berdiri gagah di mata dunia.

Malaysia yang bukan bernormakan rasuah.

Malaysia yang di mana budaya kita dipelihara dan diraikan sebagai simbol perpaduan, bukan perpecahan.

Malaysia yang untuk mereka yang cintakan keamanan, bukan untuk golongan elit.

Bukan untuk golongan elit yang dahagakan kuasa dan korupsi. Malangnya pada hari ini kita kehilangan negara tercinta kita. Kita kehilangan identiti tercinta kita.

Kita kehilangan rumah tercinta kita.

Tunku,

Mungkin akan ada beberapa pihak yang akan mempersoalkan kelantangan Tunku. Pihak yang pada mulanya mengusap belakang Tunku tapi kemudiannya menikam belakang Tunku. Pihak yang skeptikal terhadap motif Tunku tapi saya dengan sendirinya akan menentang mereka ini.

Saya melakukan ini bukan kerana saya terpaksa tapi di atas kemahuan saya sendiri. Ini bukan kerana taat setia saya yang membuta-tuli tapi disebabkan saya percayakan Tunku dalam perjuangan ini.

Saya telah diberikan keistimewaan untuk berjumpa dengan Tunku secara peribadi dan Tunku sentiasa meluahkan kebimbangan Tunku tentang Johor dan Malaysia. Tunku sentiasa konsisten dalam mengkritik kedua-dua kerajaan dan pembangkang dan oleh sebab itu saya mengagumi Tunku.

Tunku,

Sedang saya bersedih dengan perbuatan golongan elit yang merosakkan negara dan negeri tercinta kita disebabkan dahagakan kuasa. Saya sangat optimistik dengan masa hadapan kita bersama Tunku yang sanggup berani bercakap benar.

Walaupun saya sudah kehilangan harapan dalam kabinet kerajaan tapi saya masih menaruh harapan terhadap Tunku. Saya tetap optimistik kerana adanya pemimpin yang lantang bersuara menentang ketidakadilan dan memperjuangkan hak yang di luar sana.

Besar harapan saya untuk Malaysia dan Johor apabila mempunyai seorang pemimpin yang berani seperti Tunku.

Sebagai rakyat Johor, saya sangat berbangga mempunyai Tunku sebagai Tunku Mahkota Johor dan sebagai bakal Sultan. Teruskan berjuang.

Patik yang mendatang sembah,

Syed Saddiq


SYED SADDIQ ABDUL RAHMAN ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Malaysia.

Tiada ulasan: