HALAMAN SANTAI

Ahad, 9 Julai 2017

Zahid sampaikan berita baik dan buruk untuk DAP

 
 
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyampaikan berita baik dan berita buruk kepada DAP berhubung status pendaftarannya.

Berita baiknya, kata Zahid, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak akan membatalkan pendaftaran parti itu.

Manakala berita buruknya adalah sekiranya DAP tidak mengadakan pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusatnya (CEC) seperti yang diarahkan, parti itu mungkin tidak dapat bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana menurut Zahid, mengikut Akta Pertubuhan, watikah calon yang bertanding dalam PRU tidak dapat dikeluarkan jika CEC tidak diiktiraf ROS.

"Jika jawatankuasa tak diiktiraf (ROS), watikah tak dikeluarkan dan tak boleh disahkan. Maka calon-calon tak boleh bertanding," kata Zahid pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

ROS pada Jumaat lalu mengarahkan DAP mengadakan pemilihan CEC yang baru, apabila mendakwa pemilihan semula pada 2013 tidak mengikut undang-undang.

DAP membantah keputusan ROS kerana mengambil masa empat tahun untuk mengumumkan perkara itu, terutamanya selepas membuat permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman pada tahun 2014.

Pada masa itu, Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Deo Singh memetik transkrip pernyataan ROS yang dibuat di mahkamah berbunyi "... ROS mengakui bahawa CEC DAP yang dipilih pada 29 September 2013 boleh menjalankan semua kuasanya, fungsi dan tugas dalam pentadbiran urusan harian DAP mengikut perlembagaan DAP".

Berikutan itu, DAP telah menarik balik permohonan mereka.

Jangka surat ROS minggu depan

Apabila ditanya mengenai kelewatan ROS, timbalan perdana menteri menjawab bahawa badan itu memberikan banyak masa kepada DAP untuk mematuhi arahan pemilihan semula.

Beliau menambah bahawa arahan bertulis kepada DAP akan dikeluarkan minggu depan.

DAP pada 2013 secara sukarela mengadakan pemilihan semula CEC selepas isu teknikal mempengaruhi keputusan pemilihan yang diadakan pada 15 Disember 2012.

Hasil pemilihan semula disampaikan kepada ROS pada 8 November 2013, selaras dengan peruntukan perlembagaan dan Akta Pertubuhan 1966.

Bagaimanapun, ROS tidak mengiktiraf keputusan pemilihan CEC pada 2013 dan DAP membawa perkara itu ke mahkamah.

DAP mendakwa ROS melakukan tindakan sabotaj yang bertujuan mengganggu persiapan parti itu menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Tiada ulasan: