HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 Ogos 2017

1MDB: DAP pertikai pendirian Pas

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng


GEORGETOWN - DAP mempertikaikan pendirian Pas yang bersetuju dengan penerangan Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mengenai hutang yang ditanggung 1MDB dan pelan rasionalisasi hutang tersebut.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng dalam sidang medianya tadi turut mempersoalkan sama ada kesemua Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang menyertai perjumpaan itu memahami butiran yang diterangkan Arul.

Menurutnya, Pas juga sepatutnya membuat penjelasan terhadap apa yang dimaksudkan mereka (berpuas hati) dengan penerangan yang diberikan Arul selama dua jam itu.

"Saya tidak pasti sama ada kesemua yang hadir faham atau tidak dengan apa yang Arul terangkan kepada mereka. Ini kerana, banyak soalan yang dibangkitkan selama ini tidak dijawab oleh Arul. Mereka (Pas) hanya cakap puas hati saja dan minta supaya pihak luar tidak campur tangan dalam isu ini.

"Sebab itu saya rasa, Pas perlu jelaskan apa yang mereka telah berpuas hati. Adakah mereka berpuas hati dengan pembayaran wang yang banyak yang perlu ditanggung rakyat atau berpuas hati dengan perkara-perkara lain? Ini perlu dijelaskan kepada semua orang," katanya.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri turut mempertikaikan sama ada Pas mengutarakan soalan yang betul tentang 1MDB terhadap Arul Kanda ketika perjumpaan itu.

"Adakah delegasi Pas memahami isu 1MDB sebelum membuat pertemuan itu? Mengapa tak banyak tanya pasal 1MDB yang selama ini bukan sahaja dibangkitkan pembangkang malah oleh bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah?

"Saya lihat, Pas seperti burung kakak tua. Apa yang dinyatakan Umno dan 1MDB, mereka ikut saja.

Pas dan Umno tak ada beza, serupa saja. Banyak soalan penting yang boleh diutarakan antaranya wang yang dibekukan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), perbelanjaan wang oleh 1MDB dan peranan Jho Low," katanya.

Semalam, Pas menyatakan berpuas hati dengan hasil sesi meja bulat bagi membincangkan isu 1MDB apabila Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan menerima penjelasan oleh Arul Kanda mengenai pelan rasionalisasi yang dicadangkan beliau bagi mengatasi kemelut 1MDB.

Selain Arul Kanda, pertemuan itu turut dihadiri Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim dan beberapa wakil dari universiti tempatan.

Tiada ulasan: