HALAMAN SANTAI

Sabtu, 12 Ogos 2017

1MDB: PH perlu akui usaha kerajaan, contohi Pas

Manzaidi Mohd Amin
Sohaimi (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan dan Jalur Gemilang kepada penduduk setempat di Selayang, hari ini.


SELAYANG – Pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu mencontohi sikap Pas yang mengamalkan politik matang dan memperakui kebaikan kerajaan khususnya dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pembangkang jangan sekali-kali mencontohi sifat Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang juga ‘kaki fitnah’.

Beliau berkata, segelintir pemimpin pembangkang agak jumud apabila tidak mahu menerima hakikat berhubung kebaikan pelan rasionalisasi yang dilaksanakan 1MDB.

“Saya nasihatkan pembangkang tengok dengan mata hati, kalau betul kata betul, jadilah ahli politik matang. Akui keupayaan dan kebaikan yang kerajaan lakukan.

“Jangan jadi seperti Rafizi, kerja lain tak ada fitnah dan burukkan orang saja. Cuba akui sekali-sekala apa yang kerajaan buat itu betul,” katanya ketika ditemui media selepas program Jejak Kasih Merdeka di Selayang Permai.

Melalui program itu, Sohaimi yang juga Pengerusi Yayasan Jamin turut mengagihkan sumbangan kepada mereka memerlukan.

Sebelum ini, Pas yang mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan 1MDB berpuas hati dengan pelan rasionalisasi yang dilaksanakan syarikat strategik milik kerajaan itu.

Kenyataan Pas itu bagaimanapun, menimbulkan rasa kurang senang rakan dalam PH iaitu Rafizi dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Sementara itu, Sohaimi memuji langkah proaktif 1MDB yang dipimpin Arul Kanda dalam memberi penerangan sewajarnya kepada orang ramai.

Katannya, program penerangan seperti itu perlu diperhebatkan lagi kerana ia memberi kebaikan serta menyampaikan cerita sebenar di sebalik polemik berkenaan. – MalaysiaGazette.


Tiada ulasan: