HALAMAN SANTAI

Selasa, 8 Ogos 2017

1MDB: Tubuhkan RCI penegasan PAS yang konsisten

 

Oleh Nasrudin Hassan

PAS hari ini telah mengadakan Sidang Meja Bulat 1MDB dengan pihak pengurusan 1MDB yang diketuai oleh Presidennya, Arul Kanda bersama-sama tokoh-tokoh akademik dan ekonomi dalam negara.

Langkah yang diambil ini selari dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang digagaskan oleh PAS, berasaskan kepada Politik Bertunjangkan Prinsip dan Politik Kebenaran Bukan Persepsi.

Tantawi1PAS mendengar laporan dan penerangan dari pihak yang terlibat dan menerima pandangan dari pakar sebelum membuat sesuatu keputusan, ini adalah penting supaya keputusan yang diambil adalah matang, rasional dan tepat serta jauh daripada terpengaruh dengan permainan media dan ‘political game’ pihak berkepentingan.

YB Tan Sri Khalid Ibrahim, Pakar Ekonomi dan juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berpandangan bahawa kesilapan pengurusan 1MDB bermula bila mempunyai modal yang kecil tetapi berbelanja dan memiliki hutang yang besar sehinggakan pendapatan yang ada untuk membayar faedah yang tinggi. Beliau juga tidak percaya dengan hasrat ‘baik’ DOJ mengenakan saman sivil yang disifatkan mempunyai kepentingan politik tertentu bukannya dapat memberi faedah kepada rakyat di negara ini.

Datuk Wan Ahmad Fauzi Hashim @ Wan Husain, bekas Penasihat Undang-undang Sultan Terengganu juga menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (1MDB) bagi menjelaskan dakwaan adanya korupsi dan campurtangan politik serta ada sesuatu yang tak kena sebagaimana telah disebut dalam Laporan PAC.

Justeru itu, PAS telah membuat beberapa pendirian supaya isu 1MDB diselesaikan dan rakyat tidak dibebankan sebagaimana berikut:

Pertama: Memandangkan Kementerian Kewangan telah pun mengambil alih aset yang ada pada 1MDB dan diserahkan kepada MOF Incorporated, maka PAS berpendirian bahawa Menteri Kewangan perlu melaporkan kepada Parlimen dari semasa ke semasa. Ini bertujuan supaya ahli-ahli Parlimen dapat mengetahui dan memantau perkembangan aset-aset tersebut dan mengelakkan tidak timbul masalah baru jika tidak dikawal.

Kedua: PAS mencadangkan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diwujudkan bagi menyiasat perkara yang mencetus kemelut dalam isu 1MDB, khususnya sebelum Arul Kanda Kandasamy diterima masuk dan membuat Pelan Rasionalisasi terhadap 1MDB.

~ Cadangan ini telah pun dibawa oleh Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS pada 13 Oktober 2015, antara yang paling awal mencetuskan idea supaya RCI diwujudkan dalam isu 1MDB.

~ PAC tidak boleh menyelesaikan masalah, justeru ia hanya satu badan yang dianggotai oleh lapan ahli parlimen BN dan lima daripada pembangkang, dan hanya mempunyai bidang kuasa menyiasat.

~ dengan penuh hormat kepada agensi penguatkuasa yang ada di Malaysia, SPRM, Polis, Jabatan Peguam Negara, Bank Negara, Audit Negara, PAS melihat bahawa perlunya RCI ditubuhkan juga dan ini sahaja jalan keluar yang ada bagi mengambil tindakan kepada pihak yang terlibat dan memulihkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Ketiga: PAS mengharapkan supaya 1MDB perlu diberi peluang untuk menyelesaikan segala hutang yang ditanggung oleh 1MDB, kerana kelewatan menjelaskan hutang ini menyebabkan kos faedah yang dikenakan adalah sangat besar, sebanyak USD1.9 bilion setahun. Kelewatan menjelaskan hutang ini menyebabkan kadar interest bertambah.

Keempat: PAS mengharapkan tidak banyak campurtangan politik yang mengganggu Pelan Rasionalisasi yang telah pun dikemukakan. Kita mahu isu ini diselesaikan dengan rakyat tidak dibebankan. Selain itu, sebagaimana yang disebut oleh Presiden PAS, kita tidak mahu isu 1MDB membuka jalan bagi mengundang campurtangan asing dan kita mahu diselesaikan segera di peringkat dalaman negara. Bebaskan institusi kehakiman dan penguatkuasa untuk menjalankan siasatan dan tindakan kepada pihak yang terlibat.

Sejahtera Bersama Islam

*Nasrudin Hassan,Ketua Penerangan PAS Pusat 

Tiada ulasan: