HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Ogos 2017

Ahli Parlimen DAP diarah keluar dewan

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng diarahkan keluar daripada Dewan Rakyat hari ini kerana menganggu urusan mesyuarat.
 
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Mohamed Said membuat ketetapan itu selepas ahli Parlimen DAP itu ingkar dengan arahan beliau supaya duduk serta tidak menganggu pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Bantuan Guaman (Pindaan) 2017 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
 
Ia bermula apabila Lip Eng bangun menyuarakan rasa tidak puas hati selepas usul yang dikemukakannya di bawah Peraturan Mesyuarat 18 berkaitan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditolak oleh pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.
 
Bagaimanapun, Ismail menjelaskan, sebarang usul ditolak di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (7), yang memberi kuasa kepada speaker untuk menolak usul dikemukakan ahli Parlimen, ia tidak boleh dikemukakan semula.
 
Enggan mengendahkan penjelasan itu, Lip Eng sekali lagi bangun, sebelum Ismail memberi amaran akan mengarahkannya keluar Dewan.
 
Bagaimanapun Lip Eng terus bersuara, yang kemudiannya  diarah meninggalkan Dewan.
 
Ditemui di sidang media, Lip Eng mempertahankan tindakannya yang mempersoalkan tindakan 1MDB susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam.
 
"Speaker menolak dengan alasan 1MDB telah mengambil tindakan seperti yang diumumkan semalam. Sedangkan soalan saya adalah apakah tindakan yang diambil 1MDB?
 
"Melainkan apa yang diumumkan PM bahawa ini ada isu teknikal, sedangkan pada saya ini soal hutang US$603 juta. Wang rakyat akan dibayar kepada IPIC. Dan Dewan Rakyat kena bahas mana wang rakyat yang perlu dibayar kepada 1MDB, namun malangnya Speaker menolak dengan alasan sebegini," katanya.
 
Najib pada semalam menafikan 1MDB tidak mampu membayar firma pelaburan Abu Dhabi iaitu International Petroleum Investment Co (IPIC).
 
Beliau menegaskan ia sebagai soal teknikal dan memberi jaminan ia tidak akan menjejaskan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia.
 
Sebelum ini, laporan menyatakan pembayaran sebanyak AS$603 juta (RM2.58 bilion) daripada 1MDB kepada IPIC adalah sebahagian daripada penyelesaian hutang.
 
1MDB walaubagaimanapun dalam satu kenyataan kelmarin memaklumkan  pembayaran yang sepatutnya dibuat pada 31 Julai akan dibuat pada bulan ini kerana menunggu dana sewajarnya. 
 
Syarikat itu juga juga berkata, semua bayaran kepada pihak IPIC itu akan menggunakan wang yang dikumpul menerusi pelan rasionalisasi 1MDB.
 
 

Tiada ulasan: