HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Ogos 2017

Biasiswa Presiden MIC hanya ‘gula-gula’ menjelang PRU?

Berita Daily Staff

Jumlah biasiswa yang akan diberikan daripada Program Biasiswa Presiden MIC sebanyak RM18 juta kepada 900 penuntut kaum itu tidak akan dapat menampung kos pengajian tiga hingga empat tahun

KUALA LUMPUR: Biasiswa sebanyak RM 20,000 bagi seorang penuntut India yang layak daripada kalangan keluarga berpendapatan Bawah 40 (B40) didakwa Ahli Parlimen Kapar G Manivanan tidak mencukupi untuk tempoh pengajian tiga sehingga empat tahun.

Jelasnya ini kerana kos pengajian bagi Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) sekarang semakin meningkat.

“Persoalan berbangkit yang wajar diperhalusi ialah, adakah biasiswa yang ditawarkan itu mencukupi bagi pelajar-pelajar ini terutamanya yang menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS)?

“Jika dibahagi RM18 juta kepada 900 pelajar yang layak menerimanya, seorang pelajar hanya mendapat RM20 000.

“Dengan jumlah itu, saya yakin ianya tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan dan kos pembelajaran mereka selama tiga atau empat tahun pengajian,” katanya menerusi kenyataan media.

Pada 24 Julai yang lalu, Presiden MIC Dr S Subramaniam mengumumkan Program Biasiswa parti itu yang menawarkan RM18 juta kepada 900 penuntut India yang layak daripada keluarga yang berpendapatan Bawah 40 (B40) untuk tujuan melanjutkan pengajian dalam bidang akademik dan kemahiran.

Sementara itu Manivanan menyifatkan biasiswa tersebut sebagai ‘gula-gula’ Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke -14 (PRU14) untuk meraih undi kaum India.

“Sekiranya niat Subramaniam itu baik dan ikhlas, saya sangat berbesar hati dan menyambut baik hasrat beliau. Namun begitu, sebaliknya, saya mempercayai bahawa ini adalah salah satu percubaan Kerajaan Umno-BN untuk memperdayakan kaum India,” katanya lagi.

Beliau selain itu mendesak agar peruntukan untuk pemberian biasiswa ini tidak disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk kepentingan sendiri.

“Perkara ini perlu diteliti secara mendalam supaya tiada pihak yang akan mengambil kesempatan di atas kelompongan yang mungkin akan berlaku,” katanya lagi.

Tiada ulasan: