HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 Ogos 2017

Buku diharam, penulis sifatkan kerajaan 'bebal'


Pengharaman empat buah bukunya, termasuk tiga lagi hari ini, tidak mengejutkan penulis dan penterjemah Al-Mustaqeem Mahmod Radhi.

Malah, Al-Mustaqeem menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai bahan “jenaka yang dinanti-nantikan”.

"Tak terkejut, sebab kerajaan yang ada sekarang ini bebalnya dah sampai satu tahap yang tindakannya hanya akan membuatkan orang ketawa.

"Dalam kes pengharaman buku, mungkin juga orang menunggu-nunggu senarai buku yang diharamkan setiap tahun untuk dijadikan bahan jenaka," kata Al-Mustaqeem kepada Malaysiakini.

Al-Mustaqeem diminta mengulas pewartaan perintah larangan terhadap lapan penerbitan atas dakwaan mengandungi kandungan memudaratkan kepentingan awam, ketenteraman awam, kemoralan dan menggemparkan fikiran orang ramai.

Dua daripada lapan buku itu adalah buku susunannya iaitu Hukum Barat Pun Islam, Konsep Kebebasan dan Agama serta Menuju Reformasi Perundangan Islam.

Selain itu, buku ahli akademik terkenal Farish A Noor yang bertajuk From Majapahit to Putrajaya: Searching for Another Malaysia turut berada dalam senarai itu atas dakwaan menghina Islam dan negara.

Perintah larangan terhadap penerbitan itu dibuat menerusi warta bertarikh 22 dan 23 Mac lalu bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Mereka yang menjual, mengedar atau menyimpan buku-buku ini boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau didenda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Sebelum ini, buku susunan Al-Mustaqeem berjudul Islam & Pluralisme telah diharamkan pada awal 2008.

Penulis kelahiran Kedah itu bagaimanapun tidak melihat langkah itu akan membantutkan kegiatannya dalam bidang penulisan.

“(Saya) akan ambil tindakan dengan terbitkan lebih banyak buku yang mampu membantu ke arah menghilangkan sifat bebal, bodoh dan jumud,” katanya.


Tiada ulasan: