HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Ogos 2017

Jerebu: M’sia sedia bantu Indonesia, pastikan Sukan SEA berjalan lancar

 Bernama

Walaupun terdapat kebakaran di wilayah Aceh namun, belum ada tanda jerebu melanda negara dan Malaysia berpuas hati dengan komitmen Indonesia mengawal kebakaran di kawasan berkenaan

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia menghantar bantuan memadam kebakaran hutan di Indonesia yang boleh menyebabkan jerebu agar ia terkawal berikutan penganjuran Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur (KL2017) tidak lama lagi.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata beliau sendiri akan menemui Menteri Indonesia berkaitan bagi menyatakan kesediaan Malaysia membantu negara itu.

“Saya telah minta timbalan ketua setiausaha untuk ke sana supaya saya dapat bertemu menteri berkaitan bagi sampaikan hasrat ini, saya akan cuba untuk bertemu sebelum Sukan SEA berlangsung,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Mesyuarat Sumber Air Negara (MSAN) ke -12 di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata sehingga hari ini walaupun terdapat kebakaran di wilayah Aceh namun, belum ada tanda jerebu melanda negara dan beliau berpuas hati dengan komitmen Indonesia mengawal kebakaran di kawasan berkenaan.

Katanya, beliau juga menerima laporan harian mengenai titik panas di kawasan kebakaran di negara tersebut dan belum ada indikasi yang perlu dibimbangi berkenaan indeks pencemaran udara negara ini.

“Hari ini seperti laporan yang saya terima terdapat 27 kebakaran di Kalimantan, tetapi dengan aliran arah angin Barat Daya, jerebu boleh berlaku di Sarawak, tetapi dari laporan juga kita dapati titik panas semakin berkurangan menandakan pihak Indonesia berjaya mengawal kebakaran tersebut,” katanya.

Sukan SEA Kuala Lumpur bakal berlangsung pada 19 hingga 31 Ogos.

Tiada ulasan: