HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 Ogos 2017

KEMASKINI - Putrajaya tak paksa Selangor naik taraf air - Noh

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kerajaan Persekutuan tidak pernah memaksa kerajaan negeri Selangor pimpinan Datuk Seri Azmin Ali untuk menaikkan kadar tarif air. 
 
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar berkata, dakwaan yang dibuat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Mohamed Ali itu tidak benar sama sekali.
 
"Jawapan ini telah dijawab oleh menteri yang berkenaan di Parlimen dua hari lepas. Saya ingat itu dah oleh rujuk jawapan yang diberi oleh menteri berkenaan. 
 
"Tetapi kenyataan Menteri Besar yang mengatakan kerajaan Persekutuan memaksa kerajaan negeri Selangor menaikkan kadar itu tidak betul," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Perumahan Mampu Milik di SACC Shah Alam di sini, sebentar tadi. 
 
Terdahulu, Azmin mendakwa kerajaan pusat mengasak kerajaan negeri supaya memberi komitmen bertulis menaik taraf air di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya.
 
ADUN Bukit Antarabangsa itu berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Abdul mengenai status terkini pengambilalihan Splash di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang bersidang baru-baru ini. 
 
Azmin turut berkata, selain menerima asakan kerajaan pusat supaya menaikkan tarif air, pihaknya juga dilaporkan masih menunggu maklum balas daripada kerajaan pusat berhubung nilai pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).
 
Kata Azmin, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menerusi surat bertarikh 26 Mei 2017 hanya memaklumkan kaedah penilaian ke atas Splash oleh penilai bebas antarabangsa yang dilantik kerajaan pusat dan masih menunggu hasil nilaian pengambilalihan syarikat tersebut.
 
Splash adalah satu-satunya syarikat konsesi yang masih belum menerima tawaran pengambilalihan daripada kerajaan negeri.
 
Sebelum ini, kerajaan negeri sudah mengambil alih tiga syarikat konsesi lain iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas)  masing-masing berjumlah RM2.47 bilion dan RM3.11 bilion pada Mei 2014.
 
Menyusul selepas itu, Konsortium Abass Sdn Bhd yang bersetuju dengan tawaran pengambilalihan ekuiti, aset dan liabiliti air pada harga RM900 juta.
 
Sehingga ke hari ini, kerajaan Selangor masih gagal memuktamadkan rundingan harga tawaran pengambilalihan satu-satunya konsesi air itu
 
 

Tiada ulasan: