HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 Ogos 2017

Kerajaan rugi jika haramkan kajian daun ketum

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengalami kerugian sekiranya kajian mengenai tumbuhan daun ketum diharamkan, demikian menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
 
Ini kerana kata Junaidi, tumbuhan itu mempunyai nilai tinggi khususnya di pasaran luar negara, selain mudah ditanam.
 
Ujar beliau, kerajaan harus membenarkan kajian mengenai ketum bagi membolehkan potensi mengenai tumbuhan itu, khususnya dalam aspek perubatan dikembangkan.
 
"Kita jangan haramkan pengambilan dan eksploitasi kajian untuk ketum kerana kalau diharamkan, kita akan kerugian kerana tumbuhan bernilai tinggi ini tidak terdapat di banyak negara.
 
"Ketum adalah satu daripada biodiversiti, tumbuhan di negara kita yang tinggi nilainya serta mudah ditanam,” katanya pada sidang media di parlimen hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan jualan ketum, khususnya dalam aspek perubatan selepas Rang Undang-Undang (RUU) Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.
 
Wan Junaidi berkata kebimbangannya mengenai eksploitasi ketum daripada pihak luar juga kini dapat diatasi selepas RUU berkenaan diluluskan.
 
Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan RUU tersebut yang berfungsi untuk mengawal selia aktiviti berkaitan sumber biodiversiti negara, selain mengatasi masalah kecurian dalam usaha menjana ekonomi negara pada masa hadapan.
 
Ketika membentangkan RUU itu, Wan Junaidi berkata, ia dapat mengelakkan aktiviti ‘biopiracy’, iaitu pihak tertentu membangunkan sumber biologi negara tanpa sebarang perkongsian faedah kepada negara berkenaan.
 
Sementara itu, ketika sidang media, Wan Junaidi berkata RUU itu juga mengawal hasil biodiversiti negara daripada dieksploitasi saintis luar, dengan memperuntukkan hukuman sehingga RM500,000 dan 10 tahun penjara.
 
Katanya, pelbagai negara seperti Thailand dan Amerika Syarikat (AS) banyak mendapatkan daun ketum daripada Malaysia untuk menjalankan kajian, sehingga timbul kebimbangan hasil kajian akan dipatenkan negara terbabit.
 
Bagaimanapun, katanya, RUU itu masih tidak mengizinkan ketum dikomersialkan kerana perkara itu masih dibawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan. Undang-undang ketika ini melarang penjualan air atau bahan diproses daripada tanaman ketum mengikut pindaan Akta Racun 1952.
 
 

Tiada ulasan: