HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Ogos 2017

Kit Siang puji Muhyiddin ‘teramat jujur ​​dan teramat berprinsip’

 
Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, pengundi di kawasan Pagoh di mana Muhyiddin merupakan ahli Parlimen dan kawasan-kawasan luar bandar yang lain di seluruh negara harus mencontohi prinsip presiden PPBM itu.


kit-siang-muhyiddin

PETALING JAYA: Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang memuji bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai seorang yang “teramat jujur dan teramat berprinsip” dalam menyuarakan pendirian mengenai isu 1MDB sebelum beliau dipecat 2 tahun lalu.

Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, para pengundi di kawasan Pagoh di mana Muhyiddin merupakan ahli Parlimen dan kawasan-kawasan luar bandar yang lain di seluruh negara harus mencontohi prinsip presiden PPBM dan timbalan presiden Pakatan Harapan (PH) itu.

“Muhyiddin tidak dipecat kerana kesalahan rasuah, jenayah, salah atau kesilapan tetapi kerana beliau teramat jujur dan teramat berprinsip dalam bercakap mengenai kebenaran untuk menyelamatkan Johor dan Malaysia daripada kleptokrasi global,” kata Kit Siang.

Katanya: “Muhyiddin tidak bersedia untuk menutup mata dia, menutup telinga dia dan menutup mulut dia dalam soal skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara, skandal wang 1MDB bernilai berbilion dolar, yang menjadikan Malaysia menjadi kleptokrasi global.”

Kit Siang yang merupakan ketua parlimen DAP berkata demikian dalam kenyataan dikeluarkan hari ini berdasarkan ucapannya pada majlis makan malam yang diadakan di cawangan DAP Grisek di Johor malam tadi.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi di Pagoh dan kawasan luar bandar yang lain agar menggerakkan “tsunami politik”, menyokong pembangkang dan mengulangi tsunami bandar yang dilihat pada pilihan raya umum 2013.

Mengakui Umno memuji kesetiaan buta sebagai 1 kebaikan, Kit Siang berkata, ia bukan sebahagian daripada sistem nilai-nilai dalam Rukunegara dan bukan sesuatu yang dapat disemai di kalangan rakyat Malaysia yang muda.

Kata Kit Siang, jika Malaysia mahu mencapai status sebagai sebuah negara besar, “negara tidak seharusnya menjadi negara domba dan tiada parti politik harus menjadi parti politik domba.”

“Kia mahu rakyat Malaysia yang berfikir dalam setiap parti politik di negara ini, yang boleh membezakan hak dari yang salah dan kebenaran dari penipuan,” katanya.

Beliau juga mendakwa Umno sedang melalui situasi panik dan “sawan” sejak PH melancarkan logonya dan mengumumkan barisan kepimpinan pada 13 Julai lalu.

Kit Siang mendakwa kepimpinan Umno menyedari 3 risiko yang bakal dihadapi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 di mana beliau menyenaraikannya sebagai kehilangan sokongan di kalangan majoriti pengundi Melayu, penjawat awam dan “daripada peratusan tertinggi anggota Umno dalam mana-mana pilihan raya umum.”

Tiada ulasan: