HALAMAN SANTAI

Ahad, 13 Ogos 2017

Mahfuz gesa PAS insaf dan sertai Pakatan

SUARA RAKYAT

 
Oleh

PEMIMPIN PAS Mahfuz Omar malam tadi menggesa ahli partinya sedar dan menyertai semula parti pembangkang untuk bersama-sama menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata demikian semasa berucap di hadapan pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) di kubu kuat PKR Permatang Pauh, Pulau Pinang malam tadi dalam ceramah yang dihadiri hampir 1,000 orang.

Beliau mengakui menghadiri banyak acara PH, malah mesyuarat meja bulat yang membentuk PH, kerana beliau percaya mereka perlu bekerjasama dan mencari titik persamaan yang dapat menyatukan mereka.

Mahfuz berkata pada masa lalu, beliau menentang bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, yang menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA); dan melawan pemimpin de facto PH Anwar Ibrahim bagi kerusi Permatang Pauh pada 1990.

"Kita tidak boleh menafikan sejarah, tetapi dalam politik, demi rakyat dan negara, kita mesti baik hati dan berfikiran terbuka, seperti Anwar yang menerima semuanya.

"Kita sepatutnya cukup matang untuk menerima sesiapa yang mahukan perubahan masa depan yang lebih baik," katanya.

"Jika Dr Mahathir, bekas presiden Umno yang mengetuai negara selama 22 tahun, menjemput saya menyertai perjuangan menentang Umno dan membawa perubahan kepada negara, saya mesti menerimanya.

"Ia adalah sesuatu yang pelik bagi saya untuk menolak peluang sedangkan saya berjuang menentang Umno begitu lama," katanya.

Mahfuz berkata tiada siapa akan mengundi parti yang tidak menjadikan matlamat menang untuk membentuk kerajaan, merujuk kepada ucapan pemimpin partinya mengenai bilangan kerusi yang mereka ingin tandingi.

"Ketika mereka pertama kali mengatakan mahu memenangi 40 kerusi, mereka mengatakan ia akan menjadi 'kingmaker'. Dalam politik, anda tidak boleh memberitahu orang yang anda mahu menjadi 'kingmaker'.

"Orang akan menuduh anda cuba membuat perjanjian. Ia menimbulkan persepsi buruk, kerana pengundi hari ini mendapat maklumat lebih baik. Mereka mengundi berdasarkan ilmu bukan pada sentimen.

"Anda mahu menjadi 'kingmaker', tetapi anda memutuskan hubungan dengan DAP dan PKR, sambil memanggil Amanah pengkhianat. Jadi, persepsi yang ada adalah anda menjadi 'kingmaker' untuk Barisan Nasional (BN)," katanya.

Mahfuz berkata ia tidak baik untuk PAS, mendesak semua ahlinya insaf dan bekerjasama dengan PH demi negara.

Bekas pesuruhjaya PAS Kedah itu juga mengkritik yang tindakanPAS mengisytiharkan ia ingin merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh daripada PKR sebagai langkah yang tidak bijak.

"Mengisytiharkan hasrat menawan Permatang Pauh adalah strategi politik yang tidak bijak.

"Mengatakan mereka akan bertanding di kerusi pembangkang lain memberi persepsi PAS tamak dan memberi alasan kepada rakyat menolak parti," katanya.

Ucapan Mahfuz dismabut sorakan, ketawa dan tepukan apabila beliau mempersendakan rasa gembira pemimpin PAS yang berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy mengenai firma pelaburan negara itu.

"Itu semua wang kita. Macam mana kita tiba-tiba berpuas hati dengan rasionalisasi 1MDB?
Rasionalisasi melibatkan penjualan tanah, syarikat kepada China dan memindahkan hutang kepada Kementerian Kewangan.

"Saya tidak dapat menerima kenyataan itu ... dan hari ini (Perdana Menteri) Najib Razak mengatakan PAS mengamalkan politik yang matang," katanya.

Mahfuz berkata beberapa pemimpin PAS berkata tidak mengapa melakukan kesalahan asalkan orang itu kemudiannya bertaubat

"Tetapi sesuatu yang jelas menjadi kesalahan, kita mengabaikan penguatkuasaan undang-undang pihak berkuasa, dan hanya memberitahu orang itu bertaubat? Di sana, kamu bertaubat, kemudian terus menjadi perdana menteri," katanya.

Mahfuz menggamatkan suasana apabila belia berkata sedar yang kerajaan sedang kekurangan dana apabila tuntutan anggota Parlimen tidak dibayar.
"Ahli Parlimen boleh membuat tuntutan untuk tugas rasmi. Pegawai kewangan di Parlimen berbisik kepada saya mengatakan tuntutan saya dari Februari masih belum dapat lagi, kerana tiada wang," katanya.

Beliau yang kemudiannya ditemui berkata, sering memberi ceramah di  program PH dan setakat ini tidak berdepan sebarang masalah dengan kepimpinan parti atau lembaga disiplin.

"Kerana saya tidak salah. Tiada laporan terhadap saya. Saya memberitahu orang ramai menolak BN dan Umno. Itu tidak salah.

"Saya juga meminta PAS dan ahlinya kembali kepada arus perdana politik, bersama-sama PH. Ini adalah peringatan positif (kepada PAS). Kita perlu terus mencuba."

Tiada ulasan: