HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 Ogos 2017

Majlis ranap dek banjir kilat, pengantin dua beradik berputih mata

Astro Awani
Majlis ranap dek banjir kilat, pengantin dua beradik berputih mata
Banjir memusnahkan hasrat arwah isteri Hamzah Ismail untuk melihat perkahwinan kedua anaknya diadakan di kediaman mereka sendiri. - Foto Astro AWANI
 
 
MELAKA: Banjir memusnahkan hasrat arwah isteri Hamzah Ismail untuk melihat perkahwinan kedua anaknya diadakan di kediaman mereka sendiri.

Bagaimanapun katanya, dia akan memastikan majlis tetap meriah walaupuh hasrat arwah isterinya tidak tertunai.

"Walaupun saya terpaksa keluar modal lagi, saya akan pastikan majlis kedua-dua anak saya berjalan lancar.

"Saya terkilan hasrat arwah isteri yang selalu berpesan padanya untuk mengadakan kenduri kahwin anak di rumah kami sendiri tidak tercapai,” jelasnya dalam linangan air mata.

Foto Astro AWANI
Foto Astro AWANI
 
Dalam pada itu anaknya, Nursyafiqah Hamzah dan Muhammmad Al Azim Hamzah, Hamzah Ismail turut bersedih kerana segala persiapan yang untuk majlis mereka bersama pasangan turut terjejas.

"Saya hanya mampu menangis sebaik memandang khemah, pelamin serta set bilik tidur yang terjejas air banjir," ujarnya yang bakal melangsungkan majlis pernikahan pada malam Jumaat.

Nur Syafiqah , 21 tahun, dijadualkan melangsungkan akad nikah serentak dengan abangnya, Muhammmad Al Azim, 26 tahun di kediaman mereka di Kampung Sungai Putat, di sini sebelum bersanding pada Sabtu.

Foto Astro AWANI
Foto Astro AWANI

Bagaimanapun, dua beradik itu terpaksa berputih mata apabila kediaman mereka mula dinaiki air sejak jam 3 pagi tadi ekoran hujan lebat berterusan.

Kata Nur Syafiqah, dia hanya mampu menitiskan air mata memandangkan segala persiapan telah dibuat sehari lebih awal.

"Apabila melihat air mulai naik, barang hantaran serta persiapan memasak untuk majlis kenduri terpaksa dipindahkan dahulu.

"Majlis ini terpaksa diteruskan memandangkan kira-kira 1,500 tetamu sudah dijemput," katanya.

Foto Astro AWANI
Foto Astro AWANI

Sementara itu abangnya, Muhammad Al-Azim berkata, dia terpaksa membuat keputusan menukar lokasi iaitu dengan jarak kurang 100 meter dari rumah dengan menumpang rumah saudaranya.

"Saya terpaksa menyewa khemah baharu dan majlis persandingan akan dipindahkan di lokasi baharu kira-kira 50 meter daripada lokasi asal.

"Saya bernasib baik banyak pihak tolong dan pemilik butik pengantin juga datang kerumah kami pada jam 5 pagi dan berjanji akan menyiapkan satu pelamin baru di rumah saudara kami walaupun hanya pelamin ringkas,’ katanya. 
 
 

Tiada ulasan: