HALAMAN SANTAI

Isnin, 7 Ogos 2017

Malapetaka Untuk Zahid Hamidi ?

 

 
OLEH : ONN ISMAIL 

Ruang bicara politik mutakhir ini penuh dengan kisah persengketaan terbuka antara Zahid Hamidi dengan Mahathir. Masing-masing mengecam dan saling menuduh antara satu sama lain. Maka timbullah sejarah-sejarah lama yang dibongkar satu persatu ditambah pula dengan mesej-mesej terbuka pengikut kedua-dua tokoh ini. Insiden ini hampir menenggelamkan isu paling popular iaitu kegagalan 1MDB membayar hutang kepada IPIC. Maka Najib boleh menarik nafas seketika setelah diasak dari pelbagai pojok.

Dalam kesibukan Najib menabur dedak di sana-sini, dalam kerancakan Pakatan Harapan meraih sokongan, tatkala isu SCORPENE menjelma , tidak semena-mena nama Kutty terpacul dari mulut Zahid! Apakah maknanya? Adakah ianya merupakan kebiadapan politik atau sekadar umpan mengalih tumpuan terhadap isu sebenar yang melanda negara?

Ungkapan tidak bijak itu sebenarnya bukanlah suatu tindakan populis bagi meneruskan survival politik seseorang. Apatah lagi dengan kedudukan Zahid sebagai TPM! Ianya sudah tentu memberikan impak yang bukan sedikit demi keteberlangsungan dan survival politik seseorang. Seolah-olah Zahid menggali kuburnya sendiri.

Sudah menjadi rahsia umum bahawa Zahid tidak akan berjaya menduduki kerusi PM. Ini bukan labun atau cakap-cakap kosong. Setelah tersebarnya senarai kabinet versi Zahid Hamidi, tidak lama selepas itu Najib melantik Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas yang sudah pastinya satu posisi untuk mengesampingkan Zahid! Isu ini telahpun dibongkar oleh Mahathir sejurus selepas insiden Kutty. Kebaculan dan kecelakaan apakah yang membuatkan Zahid berpolitik sebegini rupa?

Dalam posisi kritikal seperti Zahid, mana-mana manusia pun akan membuat pertahanan diri, samada persiapan untuk membuktikan sesuatu atau persiapan meninggalkan arena. Bagi situasi sebegini nampaknya Zahid seperti menyerahkan bola changgung sperti yang disebut oleh Saudara MSO memberikan sepakan maut kepada pihak oposisi. Tapi nampaknya serangan-serangan Zahid itu seolah-olah memakan diri.

Secara sedar atau tidak, pengikut Mahathir masih ramai di dalam UMNO, walaupun tampak seperti CYBERTROOPER UMNO mengasak dan cuba mempertahankan tindakan Zahid. Tapi tangkisan yang dilakukan tidak sehebat serangan yang dilakukan oleh Zahid. Berduyun-duyun kolumnis samada yang pro dan oposisi mempertikai tindakan Zahid yang seakan orang mabuk dan tidak siuman! Maka sehingga kini Zahid masih lagi menyerang Mahathir dengan isu Memali pula.

Sebenarnya tindakan-tindakan Zahid ini sudah dapat dibaca sebagai usaha beliau membuktikan kesetiaannya kepada Najib. Apakah makna kesetiaan serta taat manusia Zahid ini? Sejak dari era reformasi Zahid juga pernah berikrar dan bersumpah setia bersama Anwar tetapi akhirnya gambar tangisan beliau mengaku sebagai BARUA ANWAR terpapar di dada akhbar. Ikrar politik selalunya bersifat munafik.

Akhirnya apa jua bentuk tindakan Zahid dalam menyerang Mahathir, walaupun terdapat dendam peribadi, tidak perlulah berpolitik sehingga membogel dan mengaib seseorang. Apa jua alasan, ianya bukanlah suatu perbuatan yang wajar. Tambahan pula Zahid berpendidikan agama. Insiden seperti ini akan menjadi MALAPETAKA BUAT ZAHID.

Tiada ulasan: