HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 Ogos 2017

Masalah air di Kedah: Penduduk terpaksa gali perigi, guna perigi lama

 MALAYSIA DATELINE

Gambar hiasan... sebuah perigi lama.


Kira-kira 50 keluarga di Kampung Nai Teh, Kuala Nerang meminta Syarikat Air Darulaman (Sada) segera menyelesaikan gangguan bekalan air yang kian meruncing di kampung itu sejak Hari Raya Aidilfitri lagi sehingga menjejaskan aktiviti harian mereka.

Seorang penduduk, Sharin Bakar, 44 berkata, masalah gangguan bekalan air tidak pernah berlaku sebelum ini sehingga penduduk mencari jalan alternatif untuk mendapatkan air seperti menggali perigi dan menadah air hujan.

Sejak seminggu sebelum Aidilfitri lagi, gangguan air berlaku dan tambah meruncing dalam bulan ini di mana bekalan air hanya ada sedikit pada tengah malam hingga awal pagi.

Apabila ada kematian atau kenduri terpaksa mengangkut air dari rumah saudara mara atau sungai terdekat, dan untuk minum dibeli di kedai kerana tiada pilihan, katanya ketika ditemui Bernama.

Kerana tidak tahan lagi dengan gangguan itu, beliau mengambil keputusan menggali perigi di hadapan rumahnya dengan kos RM2,000 bagi mendapatkan air untuk memenuhi keperluan harian.

Bagi Jamilah Shafie, 51 beliau terpaksa menggunakan semula perigi lama yang airnya tidak memuaskan dan keruh berikutan tidak menerima langsung bekalan air sejak lebih sebulan lalu seperti orang lain.
Air telaga yang keruh itu digunakan untuk membasuh pakaian dan pinggan mangkuk sahaja manakala air minum terpaksa dibeli dan diambil dari rumah rakan dan saudara terdekat. Ketiadaan air amat menyusahkan kami, katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Nai Teh, Abas Mihat berkata masalah itu sudah pun diajukan kepada pihak SADA namun masih belum ada tindakan.

Air bukan saja tiada di rumah kediaman, tetapi hingga di Klinik Desa Nai Teh pun tiada hingga menyukarkan jururawat menjalankan tugas, saya harap SADA segera atasi masalah ini yang telah lama berlarutan, katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam SADA Rofedi Sulaiman ketika dihubungi berkata, gangguan bekalan air itu disebabkan kerosakan pada injap jajaran paip di kolam takungan air Kuala Nerang yang menyalurkan air ke Kampung Nai Teh, Kampung Kubu dan Kampung Tanjung Putus.

Katanya, kerja-kerja pembaikan akan dilakukan pada 15 Ogos ini bagi menukar injap tersebut dan setelah selesai, masalah air akan pulih seperti sedia kala.

Tiada ulasan: