HALAMAN SANTAI

Ahad, 13 Ogos 2017

PAS tidak akan kerjasama dengan PKR pada PRU14 tapi masih boleh berbincang

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: PAS menegaskan tidak akan ada kerjasama politik bersama PKR, selaras dengan keputusan yang telah dimuktamadkan oleh Majlis Syura Ulama parti itu Mei lalu.
 
Perkara itu ditekankan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika ditanya sama ada wujud perbincangan bersama PKR dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), khususnya dalam konteks negeri Selangor. 
 
Beliau berkata PAS berpegang dengan polisi yang diputuskan parti, walaubagaimanapun ujarnya, parti itu tetap terbuka dengan sebarang perbincangan dengan parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu, khususnya berkaitan hal rakyat.
 
"Dalam konteks kerjasama politik, tidak. Kita baru buat keputusan dalam muktamar.
 
"Budaya politik matang dan sejahtera kita ialah terbuka, kita tak tutup pintu rundingan, kita 'engaged' dengan semua pihak.
 
"Cuma parti kita dah buat keputusan, kita dah putuskan tahaluf dengan PKR, DAP dan sebagainya. Dan kita mantapkan Gagasan Sejahtera, bukan bermakna tak boleh bincang...boleh bincang, tiada masalah. Tapi polisi kita bersama dengan Gagasan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Munaqasyah di sini hari ini. 
 
Tahaluf siyasi antara PAS dengan PKR terputus secara rasmi pada Mei lalu selepas Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan berkenaan berikutan sikap PKR yang dikatakan melanggar prinsip bertahaluf.
 
Isu kerjasama politik antara kedua-dua parti itu kembali hangat diperkatakan selepas tersebarnya gambar pemimpin PKR melakukan kunjungan terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam tadi.
 
Abdul Hadi malam tadi menerusi laman Facebook berkongsi gambar beliau menerima kunjungan daripada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail , Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin.
 
Gambar tersebut yang turut dikongsi Azmin menerusi Twitter beliau, sekaligus mencetuskan spekulasi sama ada kedua-dua parti itu akan bekerjasama dalam PRU14 akan datang.
 
Lebih menimbulkan tanda tanya, kunjungan itu dilakukan beberapa hari selepas Azmin dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH). 
   
Malah, Azmin baru-baru ini juga berkata, beliau bersedia untuk berunding dengan PAS dalam mendepani PRU14 kelak bagi memastikan tiada pertembungan sesama pembangkang memandangkan PAS kini bukan sebahagian daripada gabungan PH. 
 
Mengulas mengenai kunjungan pemimpin PKR itu, Tuan Ibrahim berkata, tiada sebarang perbincangan politik ketika pertemuan berkenaan.
 
"Kunjungan itu ziarah, kebetulan masa di IJN doktor nasihatkan Tok Guru (Hadi) tak dapat terima tetamu. Datuk Seri Najib pun datang ziarah. 
 
"Politik kita bukan politik budak-budak. Kita politik matang, kita pegang polisi tapi boleh bincang selagi mana tak melanggar polisi. Ini budaya yang PAS nak bawa kepada rakyat," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: