HALAMAN SANTAI

Khamis, 10 Ogos 2017

Rosmah minta tambah dana demi rakyat, kata pegawai khas PM

 
Rizal Mansor berkata permintaan isteri perdana menteri itu bukan bersifat peribadi.


Rizal-Mansor_permata_600


PETALING JAYA: Datuk Rizal Mansor hari ini berkata Datin Seri Rosmah Mansor cuma menyampaikan hasrat rakyat dalam memohon tambahan dana untuk program didikan awal dinaunginya, Permata Negara.

Pegawai khas perdana menteri itu berkata, permintaan menambah dana itu bukan permintaan peribadi sebaliknya ia datang daripada rakyat.

“Banyak kawasan-kawasan yang masih tidak ada pusat Permata, jadi mereka minta tubuhkan di kawasan mereka. Bagi yang sudah ada, mereka minta tambah kerana terlalu banyak permohonan kemasukan,” kata Rizal.

Menurutnya, 50,000 kini sudah menyertai Permata.

“Kalau nak tambah lagi, perlukan bajet tambahan. Jadi Datin Seri Rosmah cuma sampai hasrat rakyat,” katanya.

Semalam, Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad mempersoalkan permintaan Rosmah agar kerajaan meningkatkan bajet program itu.

Nik Nazmi berkata beliau merasa jengkel apabila Rosmah mengatakan akan berbincang dengan suaminya, sambil menambah program itu sepatutnya diuruskan oleh penjawat kerajaan dan bukan Rosmah.

Rizal berkata rakyat mampu menilai impak Permata kepada anak mereka “bukan seperti pembangkang yang hanya tahu mengkritik”.

“Sudah berkali-kali diterangkan, peruntukan Permata menurun. RM85 juta yang diperuntukkan pada tahun 2017 adalah termasuk penubuhan pusat TOP STEM Talent di Akademi Sains Negara dan kerja ubahsuai 2 buah pusat pendidikan menjadi Pusat Permata Pintar.

“Hakikatnya, jika ditolak kos ini, bajet pengurusan Permata menurun lebih 10%,” katanya.

Rizal berkata, Nik Nazmi tidak perlu mengalihkan isu dengan membuat tuduhan terhadap Permata dan Rosmah.

“Sedangkan isu pendidikan di Selangor masih belum selesai. Terbaru, Nik Nazmi masih belum menjawab isu berkenaan cara penyelesaian pertikaian kontrak Unisel dengan sebuah syarikat kontraktor yang saya bangkitkan,” katanya

Tiada ulasan: