HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Ogos 2017

RUU Bantuan Guaman sedia khidmat pendamping guaman kepada mangsa seksual kanak-kanak

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Penyediaan khidmat pendamping guaman kepada mangsa kesalahan seksual kanak-kanak antara konsep baharu yang diperkenalkan menerusi pindaan Rang Undang-undang (RUU) Bantuan Guaman (Pindaan) 2017 (Akta 26).
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, khidmat ini diberikan khusus kepada mangsa yang masih merupakan seorang kanak-kanak semasa prosiding di mahkamah.
 
“Perkara ini merupakan salah satu daripada lima pindaan yang dibuat dalam RUU tersebut,” katanya dalam kenyataan selepas beliau membentangkan pindaan RUU itu di sidang Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua hari ini.
 
Katanya, RUU itu juga bertujuan memastikan dana awam yang diperuntukkan kerajaan bagi perkhidmatan bantuan guaman diberi kepada warganegara Malaysia sahaja.
 
RUU tersebut antara lain memasukkan takrif bantuan guaman ke dalam akta ini bagi memperjelaskan bentuk bantuan yang diberikan, menstruktur semula peruntukan mengenai fi pendaftaran serta menambah baik ujian kemampuan selaras dasar semasa kerajaan.
 
Dengan pindaan RUU itu, katanya, kerajaan menyelaraskan pemberian perkhidmatan bantuan guaman kepada mereka yang berpendapatan rendah seperti golongan E-Kasih, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan B40.
 
“Pindaan akta ini bagi memastikan kelestarian Jabatan Bantuan Guaman dan perkhidmatan yang diberikan memberi impak kepada masyarakat untuk mendapatkan akses keadilan sewajarnya,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: