HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Ogos 2017

Salleh ajak rakyat kibar Jalur Gemilang

Bernama

Masyarakat di negara ini dilihat masih kurang dan lesu untuk mengibarkan Jalur Gemilang walaupun pelbagai pengisian direncana bagi mengisi sambutan bulan kemerdekaan seperti pertandingan syarahan merdeka, tayangan filem-filem perjuangan menuntut kemerdekaan selain perbincangan di pelbagai platform termasuk media sosial

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Dr Salleh Said Keruak mengajak rakyat menzahirkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-60 dan penganjuran Sukan Sea 2017 bulan ini.

Salleh berkata masyarakat di negara ini dilihat masih kurang dan lesu untuk mengibarkan Jalur Gemilang walaupun pelbagai pengisian direncana bagi mengisi sambutan bulan kemerdekaan seperti pertandingan syarahan merdeka, tayangan filem-filem perjuangan menuntut kemerdekaan selain perbincangan di pelbagai platform termasuk media sosial.

Katanya tanggapan bahawa mengibar bendera itu hanya sekadar simbolik dan bukan keutamaan untuk menzahirkan kebanggaan perlu diubah dan kekuatan semangat patriotisme, yang diyakini masih kukuh di hati rakyat negara ini, tidak seharusnya terpendam di dada sahaja.

“Masalah sikap inilah yang menyebabkan rakyat kita memandang mudah kepada keperluan mengibarkan Jalur Gemilang.

“Saya berharap tahun ini sikap apati sebegitu tidak berlaku lagi. Dengan tema kemerdekaan kita tahun ini ‘Negaraku Sehati Sejiwa’, adalah wajar bagi kita bersatu hati menyambut kemerdekaan bersama,” katanya dalam laman blog beliau sskeruak.blogspot.my, hari ini.

Selain Malaysia,  Ogos juga merupakan bulan kemerdekaan bagi beberapa negara antaranya Singapura (9 Ogos), Korea Selatan (15 Ogos), Liechtenstein (15 Ogos)  dan Indonesia (17 Ogos) yang disambut penuh  gemilang dengan kibaran bendera di sepanjang jalan.

Salleh berkata sambutan kemerdekaan negara tahun ini seharusnya lebih gemilang dan meriah dengan peranan Malaysia selaku tuan rumah temasya Sukan Sea 2017 bulan ini.

“Tunjukkan kepada negara luar betapa kuatnya jiwa patriotik kita anak Malaysia. Tunjukkan kepada negara luar kita bangsa yang menjunjung tinggi akhlak dan budaya, bukannya bangsa yang lupa sejarah.

“Marilah kita buktikan kemerdekaan sebagai lambang pemersatu kita rakyat Malaysia. Sambutlah kemerdekaan kita dengan penuh kebanggaan,” katanya.

Malaysia akan menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA ke-29 yang dijadual berlangsung pada 19 hingga 31 Ogos 2017 di Kuala Lumpur, selain menjadi tuan rumah Sukan Para ASEAN 2017 September nanti.

Tiada ulasan: