HALAMAN SANTAI

Selasa, 8 Ogos 2017

Satu lagi korban politik Mahathir - Otai Reformis!

Oleh Lokman Ramlee
Post Pic
 
 
[ULASAN] "Ya, begitulah. (Saranan Anwar) supaya kita inklusif, terbuka, dan beri peluang kepada semua pihak untuk berjuang. Bila orang sudah taubat, kita terima taubat mereka," kata Pemangku Setiausaha gerakan Otai Reformis, Saiful Ariffin.
 
Sehubungan itu, beliau mula mengalih arah dengan mengisytiharkan pendirian pergerakannya yang kini menganggap struktur kepimpinan Pakatan Harapan (PH) sebagai 'menakjubkan',
 
"Setakat ini struktur organisasinya sangat menakjubkan, dari segi penyusunannya. Itulah yang terbaik dilakukan," katanya sambil menegaskan bahawa Anwar masih memainkan peranan penting dalam gabungan pembangkang itu.
 
Pendirian ini dilihat pelik kerana tidak sampai dua minggu lalu Otai Reformis mengumumkan ia menolak kepimpinan Dr Mahathir sebagai Pengerusi PH atau sebagai Perdana Menteri atau Menteri Kanan, atau Penasihat jika PH berjaya menawan Putrajaya.
 
Gerakan itu juga menegaskan bahawa mana-mana pemimpin PH yang tidak bersetuju dengan pendirian itu harus berundur. Ia menyaksikan Pengerusi Otai Reformis, Saari Sungib yang juga ADUN Hulu Kelang dan Timbalan Pengerusi Amanah Selangor, meletak jawatan. 
 
Demikian pendirian terbaharu Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkenaan yang sentiasa mahu membuktikan bahawa ia amat insaf, gigih dan konsisten dalam membela nasib bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
"Kerjasama secara teknikal perlu diperhalusi. Kita terbuka, inklusif dan menerima semua pihak. Namun ia perlu diperhalusi dan bersyarat. Kerjasama itu bukan yang mutlak atau sesuka hati, ia perlu dibatasi dengan beberapa had kuasa," kata Saiful.
 
Kepimpinan baru Otai Reformis dakwa insaf dengan 'luka kecil' Anwar
 
Namun Sabtu lalu agak ganjil pula apabila Saiful memberitahu “wujud kekeliruan’ di dalam ketetapan terdahulu dan ia 'diperbetulkan' dalam mesyuarat dua jam pada hari berkenaan. Paling menonjol ialah Saari akan kembali memimpin gerakan itu, katanya.
 
Otai Reformis, tegas Saiful, sepakat mengambil ketetapan terbaru itu sejajar dengan respon Anwar baru-baru ini bahawa beliau mengalu-alukan kesediaan Dr Mahathir untuk memimpin PH, dalam usaha memperluas jaringan agenda perjuangan pembangkang.
 
Anwar juga menyifatkan 'luka' yang dihadapi adalah kecil jika dibandingkan kepentingan untuk rakyat dan masa depan negara.
 
Bagaimanapun Saari masih kurang pasti sama ada mahu menyambung khidmatnya sebagai pengerusi Otai Reformis. Beliau mahu meneliti butir mesyuarat dua jam Sabtu lalu yang jelas membuat pusingan U dan menegaskan sokongan pada PH, meskipun bersyarat. 
 
Persoalannya, apa sudah jadi dengan Otai Reformis? Ia terkenal dengan sikap tegas dan beraninya mencabar kezaliman mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memecat Anwar pada 1998, mengaibkannya dan menyebabkannya terpenjara sehingga 2004.
 
Adakah ini caranya Otai Reformis mahu terus relevan dalam politik Malaysia dan tidak mahu kehilangan wibawanya tanpa pimpinan “berkepala dingin” Saari Sungib?
 
Atau, adakah NGO ini kini dibadai krisis dalaman hingga melimpah dalam forum kontroversial “Dr Mahathir: Agen Perubahan atau Pemusnah” yang menyaksikan pendirian mutakhir badan itu “lok-lak” berhubung isu Dr Mahathir mengepalai PH?
 
Satu petanda ada yang tidak kena dalam Otai Reformasi apabila Setiausahanya, Abdul Razak Ismail mengumumkan keluar NGO itu dan menyertai Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk bertanding kerusi DUN Sri Muda, Selangor mencabar ADUN PKR, Shuhami Shafie.
 
Sabtu lalu juga Razak berkata, PSM berhasrat meletakkan calonnya di lima kawasan DUN dan kawasan Parlimen di Selangor dalam menentang blok PH dan UMNO-Barisan Nasional (BN) pada PRU14 akan datang. 
  
Menurutnya, PSM merancang bertanding kerusi DUN di negeri itu meliputi Sri Muda, Pelabuhan Klang, Semenyih, Kota Damansara dan Kajang. Sementara di peringkat parlimen pula akan meletakkan calon di Subang dan Hulu Langat. 
  
"Kita melihat bahawa PH ini merasakan mereka itu kuat. Mereka mengatakan bahawa mereka banyak program, berderet lah programnya. Tetapi bila kala PSM kata nak bertanding sesuatu kawasan itu, mereka panik.
 
"Maknanya PH itu tidak sekuat mana. Kalau mereka kuat gunakan isu 1MDB dan DOJ dan sebagainya untuk tumbangkan UMNO-BN, itu isu besar. Dalam isu ini bila PSM nak bertanding dekat kawasan mereka bangkit isu PSM akan pecahkan undi mereka.
 
"PH kena ingat tanpa PAS dalam komponen mereka besar kemungkinan PAS juga akan bertanding di sini. Jadi tidak ada alasan mengatakan bahawa PSM pecah undi, PAS pun pecah undi. 
 
“Saya melihat bahawa pilihan raya ini 'best man win'. Siapa yang boleh tarik minat pengundi setempat dia lah menang. Tidak ada bangkit isu yang mengatakan bahawa pecah undi dan sebagainya," tambahnya.
 
Otai juga 'hilang' seorang daripada pengasasnya
 
Abdul Razak adalah penyokong tegar Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagaimanapun beliau melepaskan jawatan dalam NGO berpengaruh itu yang pada mulanya menolak penyertaan Mahathir diangkat sebagai Pengerusi PH.
 
Berikutan itu, Anwar mengeluarkan kenyataan media “memujuk” Otai Reformis supaya menghargai kepayahan yang dihadapi oleh Mahathir dalam usaha mengukuhkan lagi saf pembangkang untuk PRU14.
 
Natijahnya, jika kenyataan Saifui boleh dijadikan sandaran, Otai Reformis akur. Kini ia cuba memujuk Saari Sungib pulang ke pangkuannya. Namun keretakan dalam NGO ini sudah terserlah. 
 
Sekaligus, ia menampilkan satu lagi dimensi dalam perjuangan blok pembangkang yang cacat. Yang pastinya Otai Reformis kini kelihatan kaget kerana terpaksa akur pada arahan musuh Mahazalimnya selama 19 tahun. Mahathir menang lagi.

Tiada ulasan: