HALAMAN SANTAI

Selasa, 8 Ogos 2017

Segerakan RUU Sistem Insurans Pekerja 2017



Abdullah Sani Abdul Hamid
Abdullah Sani Abdul Hamid


SHAH ALAM - Tindakan kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerja 2017 hanya akan memanjangkan tempoh bebanan pekerja.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, pembentangan RUU itu seharusnya disegerakan dan sekiranya terdapat penambahbaikan, ia boleh dibuat ketika sidang perbahasan.

“Kami tidak setuju ia ditangguhkan daripada nombor dua ke-11 dan kami desak supaya Kementerian Sumber Manusia ambil perhatian.

“Kenapa perlu tangguhkan bacaan kali kedua ini, RUU ini penting dan perlu disegerakan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menafikan tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan pihaknya menentang pembentangan RUU tersebut.

“Di luar sana ramai yang salah anggap mengatakan kami tidak bersetuju dengan RUU ini, tapi sebaliknya kami amat mengalu-alukannya.

“Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam isu ini melalui Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), saya juga mahu pastikan semua pekerja dapat menikmati manfaat skim tersebut,” katanya.

Sementara itu, Abdullah Sani turut mempertikaikan caruman sebanyak 0.5 peratus yang dikenakan terhadap pekerja dalam skim sedia ada kerana mendakwa ia membebankan.

“Pada peringkat awal, MTUC telah mencadangkan caruman sebanyak 0.25 peratus, namun menerusi RUU sedia ada ia memperuntukkan 0.5 peratus.

“Kerajaan perlu faham keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu, pekerja bukan sahaja mahu jaringan keselamatan baik, tetapi juga tidak membebankan.

Beliau mendakwa, sekiranya caruman 0.5 peratus dilaksanakan, jumlah kutipan akan melebihi tujuh kali ganda daripada peruntukan yang diperlukan.

“Kami anggar kerajaan hanya perlu RM300 juta setahun untuk tampung 50,000 pekerja yang mungkin kehilangan pekerja. Kami yakin caruman 0.25 peratus sudah memadai dan tidak perlu potongan sehingga 0.5 peratus,” jelasnya.

Tiada ulasan: