HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Ogos 2017

Semua perdana menteri Malaysia keturunan campur, kata Kit Siang

Farhan Darwis
 
Kit Siang menjadi antara pemimpin pembangkang utama yang mempertahankan Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang kini menjadi antara pemimpin pembangkang utama yang mempertahankan Dr Mahathir Mohamad selepas Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan menyentuh keturunan India pengerusi Pakatan Harapan itu.

Kit Siang yang pernah menulis dua buah buku menyentuh isu skandal kegagalan pelaburan Forex pada tahun 80an ketika pemerintahan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata isu keturunan tidak seharusnya dimainkan kerana semua perdana menteri Malaysia mempunyai keturunan campur.

“Ahmad Zahid seharusnya mengakui kesilapannya kerana meremehkan keturunan Dr Mahathir.
“Beliau harus membuat permohonan maaf dengan ikhlas bagi membolehkan negara bergerak ke hadapan untuk menyambut Hari Kebangsaan ke-60 akan datang.”

“Mari kita mulakan dengan menghormati keturunan dan budaya orang lain kerana semua perdana menteri Malaysia mempunyai keturunan yang bercampur,” kata Kit Siang ketika sidang medianya mempertahankan Dr Mahathir di Parlimen, hari ini.

Ahmad Zahid terus dikritik kerana menyentuh keturunan Dr Mahathir ketika berucap dalam mesyuarat agung Umno Kelana Jaya, Ahad lalu.

Beliau dilaporkan menyentuh keturunan India dalam nama susur galur Dr Mahathir a/l Iskandar Kutty.

Sayap pemuda PPBM juga awal hari ini menganjurkan bantahan di perkaranga pintu masuk Parlimen susulan kenyataan Zahid itu.

Mereka turut menjemput menteri dalam negeri itu untuk mendapatkan pengesahan berhubung dakwaannya itu daripada Dr Mahathir sendiri dengan hadir ke program Nothing To Hide 2.0 yang dianjurkan Armada.

Tiada ulasan: