HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Ogos 2017

Siasat jika orang Islam sertai kelab ateis, kata timbalan menteri

 
Siasatan terperinci termasuk penglibatan SKMM adalah perlu kerana ia melibatkan soal akidah, kata Asyraf Wajdi.


dusuki


KUANTAN: Kerajaan akan menyiasat jika terdapat umat Islam menyertai Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur yang tular di laman media sosial baru-baru ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata siasatan terperinci termasuk penglibatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu kerana perkara itu melibatkan soal akidah umat Islam.

Katanya, bidang kuasa berkaitan akidah umat Islam tertakluk di bawah Enakmen Jenayah Syariah setiap negeri manakala bagi peringkat Wilayah Persekutuan, ia di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

athies

“Jika ada bukti penglibatan umat Islam dan ternyata perbuatan itu menjejaskan akidah, tindakan boleh diambil Jabatan Agama Islam setiap negeri atau Jawi. Saya akan minta Jawi untuk melihat perkara ini dengan lebih terperinci.

“Sudah tentu kerajaan memandang serius dakwaan ini kerana ia membabitkan akidah umat Islam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Indera Mahkota hari ini.

Asyraf Wajdi berkata demikian semasa diminta mengulas kewujudan akaun media sosial kumpulan itu di laman web Facebook. Ateis merujuk kepada individu yang tidak mempercayai tuhan dan tidak mempunyai pegangan agama.

Beliau menambah kerajaan juga melaksanakan pelbagai program bagi mengukuhkan pegangan akidah umat Islam sejak dari bangku sekolah, selain jabatan dan agensi agama juga saling berhubung bagi merancang program penerapan nilai Islam.

“Jika ada umat Islam yang terpengaruh dengan kegiatan seperti ini, tindakan undang-undang boleh diambil kepada mereka. Kita juga mempunyai program pendidikan, pemulihan dan penerangan bagi mengembalikan semula akidah mereka yang terpesong,” katanya.

Tiada ulasan: