HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Ogos 2017

Skandal BNM, Tun M salahkan bekas gabenor, timbalan



Mahathir Mohamad
Mahathir Mohamad - Foto Reuters

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menyalahkan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Jaafar Hussein dan bekas penolongnya Nor Mohamed Yakcop berhubung skandal BNM yang ditimbulkan semula baru-baru ini.

Memetik laporan The Malaysian Insight, Mahathir juga menegaskan beliau hanya tahu lebih sedikit berbanding apa yang dilaporkan kepada Parlimen pada ketika itu mengenai kerugian tersebut, sekaligus menafikan sebarang salah laku membabitkan beliau dalam skandal itu.

"Tan Sri Jaafar. Beliau yang bertanggungjawab. Beliau memulakan bahagian perdagangan matawang ini dan semua itu di Bank Negara dan juga di London dan menugaskan Nor Mohamed untuk mengendalikan urusniaga itu," demikian petikan wawancara Mahathir bersama The Malaysian Insight.

Menurut Mahathir, selepas mengetahui mengenai kerugian itu, kerajaan menghentikan operasi unit perdagangan matawang BNM yang ketika itu dilaporkan memperdagangkan antara lima hingga 10 kali ganda lebih tinggi berbanding kadar biasa di bank pusat.

Mahathir juga memaklumkan bahawa BNM tidak menjangkakan Perjanjian Maastricht ditandatangani pada 7 Februari 1992, yang membawa kepada pengenalan matawang tunggal Euro seterusnya menyebabkan kejatuhan matawang pound Britain.

Jaafar yang menjadi gabenor BNM sejak 1985, meletakkan jawatan pada 1 April 1994 dan meninggal dunia empat tahun kemudian.

Nor Mohamed kemudiannya menjawat jawatan menteri kewangan kedua dalam pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi dan seterusnya dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancang Ekonomi) dalam kabinet Perdana Menteri Najib Razak sehingga 2013.

Pada Jun lalu, kabinet Malaysia telah setuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja, atau Royal Commission of Inquiry (RCI) untuk membolehkan siasatan terperinci dapat dilakukan ke atas Bank Negara Malaysia (BNM).

Ini berikutan hasil siasatan awal Pasukan Petugas Khas (PPK) yang ditubuhkan bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh BNM sekitar 1980-an dan 1990-an.

Sebuah kenyataan telah dikeluarkan dari Pejabat Perdana Menteri bertarikh 21 Jun yang menyatakan bahawa “penubuhan RCI ini akan membolehkan siasatan terperinci yang lebih menyeluruh dapat dilakukan berdasarkan lunas-lunas perundangan”. Kenyataan sama menyatakan juga bahawa siasatan RCI ini “dilindungi di bawah Akta 119”. Akta 119 adalah Akta Suruhanjaya Siasatan Diraja 1950, atau Commissions of Enquiry Act 1950 (Amended 1973).

Dengan siasatan dilaksanakan menggunakan Akta 119, siasatan ini akan dilindungi (immunity) oleh undang-undang.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian sebanyak AS$10 bi­lion yang dialami BNM melalui kegiatan perdagangan mata wang sepanjang 1991 hingga 1993, semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Baru-baru ini, Abdul Murad tampil mendedahkan bank pusat itu pada 1991 hingga 1993 terlibat dalam perdagangan spekulasi mata wang antarabangsa yang berisiko tinggi sehingga menyebabkan kerugian lebih daripada jumlah yang dilaporkan.

Tiada ulasan: