HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Ogos 2017

Syarikat milik Yayasan Sabah rugi RM16.23 juta semenjak 2015

Berita Daily Staff

Laporan Ketua Audit Negara 2016 berkata prestasi kewangan syarikat itu dan urus tadbirnya kurang memuaskan akibat pengurusan yang tidak teratur dengan tunggakan yuran yang tinggi

KUALA LUMPUR: Syarikat milik penuh Yayasan Sabah mengalami kerugian tiga tahun berturut-turut semenjak 2015 dengan jumlah RM16.23 juta, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016.

Kata laporan itu prestasi kewangan syarikat itu dan urus tadbirnya kurang memuaskan akibat pengurusan yang tidak teratur dengan tunggakan yuran yang tinggi.

“Pengauditan yang dijalankan pada bulan September hingga Disember 2016, mendapati pada umumnya prestasi kewangan KKYSSB adalah kurang memuaskan kerana syarikat mengalami kerugian bagi 3 tahun berturut-turut dan berada pada kedudukan kerugian terkumpul pada tahun 2015 berjumlah RM16.23 juta.

“Pengurusan kewangan tidak teratur dengan tunggakan yuran yang tinggi serta terdapat perjanjian yang belum diperbaharui atau tidak disediakan,” kata laporan itu.

Tambah laporan itu jumlah kemasukan pelajar dan kadar pelajar yang tamat pengajian mengikut tempoh yang ditamatkan juga semakin menurun selain masalah Prosedur Operasi Standard (SOP).

KKYS Sdn. Bhd. merupakan adalah sebuah syarikat milik penuh Yayasan Sabah yang ditubuhkan pada tahun 2001 dengan modal dibenarkan dan modal berbayar masing-masing berjumlah RM50 juta dan RM23.31 juta.

Objektif penubuhan syarikat telah termaktub dalam Seksyen 3, Enakmen Yayasan Sabah No.8, 1996 iaitu memberi penekanan terhadap kemajuan pendidikan. KKYSSB telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus tadbir Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS) yang telah diswastakan pada 2 Jun 2001 untuk mempromosikan Technical Vocational Education & Training (TVET). KTYS beroperasi di tiga buah kampus pengajian di Kota Kinabalu iaitu City Campus di Sembulan, Pusat Pengajian Teknikal di Teluk Likas dan Skill Training Centre Campus 88 di Kepayan.

Aktiviti utama yang dijalankan oleh KTYS adalah menjalankan program pendidikan berbentuk latihan vokasional peringkat sijil dan diploma yang mendapat pentauliahan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia dan pengajian akademik peringkat diploma yang mendapat perakuan akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi.

Pengauditan KKYSSB yang pertama kali dijalankan pada 2008 telah membangkitkan isu tunggakan sewa bangunan kolej, kajian pengesanan pelajar tidak dilaksanakan, kemudahan asrama yang tidak selesa dan tunggakan yuran pelajar yang tinggi.

Dilaporkan isu telah diambil tindakan kecuali bagi tunggakan sewa bangunan kolej yang sebahagiannya masih belum dibayar dan tunggakan yuran pelajar yang masih tinggi.

Tiada ulasan: