HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Ogos 2017

Tiada Kompromi Dalam Isu Felda – Zahid Hamidi

Lokman Miskan

Isu Felda


Kerajaan menyokong penuh langkah-langkah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan berhubung penyelewengan yang boleh menjejaskan Felda.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan tidak pernah berkompromi dengan mana-mana pihak dalam isu Felda dan akan mengheret individu termasuk tokoh tertentu yang didapati terlibat ‘menganiayai’ masyarakat Felda ke muka pengadilan.
 Menurutnya, isu Felda mendapat perhatian daripada kerajaan dan beliau amat menyokong tindakan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) melakukan siasatan terhadap agensi itu.

“Ya, kita ada beberapa kelemahan Insya Allah kita akan perbaiki. Ya, kita ada beberapa perkara yang tidak dapat diperkirakan dari segi kesahihannya kita akan betulkan. Ya, kita ada kerugian dalam syarikat-syarikat di bawah Felda Global Venture (FGV), kita akan pantau.

“Malah kita tidak akan pernah melepaskan mana-mana individu biarpun individu itu adalah tokoh tetapi kalau tokoh atau individu itu merugikan Felda, telah menzalimi peneroka Felda, maka tunggulah mereka akan diheret ke mahkamah untuk kita mencari keadilan demi kepentingan penduduk Felda di seluruh negara,”katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Umno Bahagian Raub di Dewan Titiwangsa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga merupakan Timbalan Presiden Umno, berkata pihak kerajaan memandang serius terhadap semua isu yang melibatkan Felda termasuklah berkaitan pelaburan yang dilakukan Felda dan anak syarikatnya.

“Apa perlunya membeli hotel yang mewah di luar harga pasaran, apa perlunya membeli hotel yang berada di luar negara walaupun ini merupakan satu pelaburan yang memberikan pulangan pelaburan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai sebuah organisasi kerajaan, Felda seharusnya memberi keutamaan kepada  kepentingan peneroka-peneroka dan jangan sesekali menganiayai mereka.

Beliau memberitahu, Felda amat dekat di hati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meneruskan kesinambungan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

“Kita lihat Perdana Menteri memberikan komitmen dalam membantu memberikan kesejahteraan kepada kira-kira 110,000 peneroka Felda dan juga warga Felda.

“Nasib peneroka Felda harus dibela kerana mereka merupakan asas kepada pendokong-pendokong kerajaan di kawasan Felda. Selagi saya menjadi pemangku kepada Perdana Menteri apa sahaja rancangan untuk mendokong peneroka Felda saya akan tetap bersama,” katanya. – Sinar Harian


Tiada ulasan: