HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Ogos 2017

Tindakan tegas jika gagal lapor kes buli

Bernama

Pengetua dan guru besar perlu segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat sebarang kes salah laku sedemikian di sekolah mereka

SADONG JAYA: Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan sekolah yang menyembunyikan sebarang salah laku termasuk kes buli di sekolah masing-masing.

Ketua Pengarahnya Dr Khir Mohamad Yusof berkata pengetua dan guru besar perlu segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat sebarang kes salah laku sedemikian di sekolah mereka.

“Tindakan melaporkan kes seumpamanya tidak akan menjejaskan reputasi sekolah, sebaliknya ia perlu bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita apabila ditanya tentang tindakan pihak kementerian terhadap sekumpulan pelajar perempuan yang terlibat dalam kes buli seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Kunak, Sabah baru-baru ini.

Memandangkan kes itu sudah menjadi kes polis, beliau berkata, pihak kementerian menyerahkannya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan tidak mahu mengganggu proses tersebut.

“Pada pihak kementerian, jika siasatan mendapati ia benar-benar kes buli, maka tindakan disiplin akan diambil mengikut prosedur operasi standard (SOP) kes buli,” katanya.

Beliau berkata pelajar terbabit dalam kes buli tidak akan diberhentikan sekolah, sebaliknya jika kes didapati serius pelajar yang terlibat akan diasingkan termasuk ditempatkan di Sekolah Henry Gurney.

Khir sebelum itu meninjau bangunan blok Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Bujang Rangawan Putin di sini hari ini, yang dibina menggunakan teknologi Sistem Bangunan Berindustri (IBS) menerusi projek menaik taraf sekolah daif di luar bandar.

Sekolah tersebut adalah antara 30 sekolah di Sarawak yang dinaik taraf tahun ini menggunakan teknologi IBS, yang dikatakan dapat disiapkan dalam tempoh singkat dan tahan lebih lama, dengan kos yang lebih murah.

Tiada ulasan: