HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Ogos 2017

Tun M kini wira pembangkang - Rosnah

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUANTAN: Tun Dr Mahathir Mohamad hanya akan menghilangkan perasaan hormat rakyat kepadanya apabila melaga-lagakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 
 
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata tindakan Dr Mahathir itu juga mendedahkan peribadi sebenar beliau sebagai seorang yang tidak berpegang kepada prinsip kesetiaan yang diterapkannya semasa bergelar pemimpin.
 
Dr Mahathir sebagai seorang negarawan juga harus sedar tindakan menyerang Najib dan Ahmad Zahid bukan sekadar menyerang Umno, tetapi juga membawa kepada kerapuhan perpaduan orang Melayu, kata Rosnah.
 
“Saya harap rakyat sudah dapat melihat wajah sebenar Tun M, beliau pernah melakar sejarah yang baik untuk negara, tetapi sekarang merosakkan legasi dan perpaduan yang beliau sendiri perjuangkan.
 
“Saya kira saya juga sudah hilang rasa hormat kerana beliau sendiri mencalarkan perjuangan beliau sebelum ini. Nampaknya daripada menjadi wira kepada kita semua, Tun M kini menjadi wira kepada pembangkang,” katanya.
 
Rosnah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita Umno Bahagian Indera Mahkota di sini hari ini.
 
Beliau mengulas dakwaan Dr Mahathir mengenai pertemuan beliau dan Ahmad Zahid selepas 10 hari dilantik menjadi timbalan perdana menteri yang kononnya bertujuan untuk menjatuhkan Najib.
 
Sehubungan itu, Rosnah yang juga timbalan menteri kerja raya meminta rakyat negara ini untuk tidak terperangkap dengan permainan politik Dr Mahathir yang disifatkannya sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan peribadi dan anak-anaknya.
 
“Perjuangan yang dibawa Dr Mahathir sekarang bukan perjuangan untuk menyelamatkan negara, sebaliknya untuk selamatkan diri sendiri. Beliau mendakwa bahawa Umno mempergunakan beliau selama 22 tahun, tapi sebenarnya beliau yang mempergunakan orang Melayu dan Umno.
 
“Jangan terbawa-bawa dengan apa yang dikatakannya. Beliau mengajar rakyat untuk menderhaka kepada pemimpin. Ketika ini, beliau adalah guru terbaik untuk perkara negatif,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: