HALAMAN SANTAI

Khamis, 10 Ogos 2017

Tun M sahkan LHDN serbu syarikat milik anak-anaknya

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan beberapa syarikat anak-anaknya diserbu oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan menyifatkan tindakan itu sebagai salah guna kuasa.
 
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pemimpin-pemimpin kerajaan juga harus dijadikan sasaran serbuan sedemikian.
 
Dalam nada sinis Dr Mahathir menjemput Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk turut membuat serbuan sama terhadap keluarga beliau.
 
"Mereka dialu-alukan untuk menyerbu... Malah ada juga cadangan supaya SPRM serbu saya dan anak-anak," kata Dr M.
 
Beliau berkata sepatutnya perdana menteri dan keluarga serta anggota jemaah menteri juga patut disiasat sama.
 
"Kita perlu tahu kekayaan dikalangan menteri. Saya pernah sebut tentang (Datuk Seri) Zahid, dan kini (Datuk Seri) Hishamuddin mahu saya diserbu dan disiasat. Malah saya cadangkan perlu juga serbu dan sasar (Datuk Seri) Hishamuddin.
 
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, beliau tidak keberatan untuk disiasat oleh SPRM namun berkata Dr Mahathir juga harus bersedia untuk disiasat.
 
Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang juga naib presiden Umno minggu lalu berkata, tidak wajar jika Zahid menawarkan diri untuk disiasat manakala Dr Mahathir berdiam diri.
 
Polemik itu timbul selepas Dr Mahathir menuduh kononnya Zahid pernah memiliki RM230 juta sewaktu menjadi ketua pemuda Umno.
 
Zahid menafikan meraih sebarang pendapatan sebegitu menerusi rasuah.
 
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata siasatan LHDN ke atas syarikat yang berdaftar secara sah di negara ini adalah amalan biasa.
 
Beliau kemudiannya berkata, Dr Mahathir dan anak-anaknya tidak perlu risau jika tidak melakukan apa-apa kesalahan.
 
"Bagi saya, Tun Mahathir dan keluarga dia tidak perlu susah hati. Dia tidak perlu berasa tersinggung kerana lawatan ataupun pemeriksaan yang dilakukan pegawai-pegawai LHDN ke premis seperti yang dilakukan terhadap anak dia dan mungkin syarikat yang ada kaitan dengan Tun Mahathir adalah amalan biasa yang tidak jadi apa apa perkara kepada sesiapa pun.
 
"Kalau kita lihat, tindakan yang dilakukan oleh LHDN kepada keluarga Tun Mahathir itu adalah atas rungutan orang ramai terhadap supaya diambil tindakan. LHDN melakukan hari ini adalah berdasarkan laporan yang dilakukan oleh rakyat Malaysia," katanya kepada Antarapos hari ini.
 
 

Tiada ulasan: